AMK N. Sembilan lapor polis terhadap pihak cuba gugat demokrasi berparlimen - Utusan Malaysia

AMK N. Sembilan lapor polis terhadap pihak cuba gugat demokrasi berparlimen

MOHAMAD Afif Anuar (tujuh dari kiri) bersama para penyokong PKR selepas membuat laporan polis di IPD Seremban hari ini terhadap pihak yang cuba menggugat demokrasi berparlimen.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan hari ini membuat laporan polis terhadap pihak yang didakwa menimbulkan kegusaran awam melalui cubaan menggugat sistem demokrasi berparlimen di negara ini.

Laporan itu dibuat oleh Ketua AMK Negeri Sembilan, Mohamad Afif Anuar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini kira-kira pukul 4 petang tadi.

Mohamad Afif berkata, aduan itu dibuat selepas beliau membaca laporan media yang memetik seorang individu dikenali sebagai Raja Petra Kamaruddin.

Ia berkaitan bahawa terdapat usaha yang bersungguh-sungguh digerakkan oleh beberapa orang Ahli Parlimen pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikenali sebagai Langkah Dubai.

Menurutnya, gerakan seperti itu sangat jelas bertujuan mengancam kestabilan kerajaan dan ketenteraman awam dengan mengganggu gugat sistem demokrasi berparlimen di negara ini.

“Saya percaya komplot ini bertentangan dengan peruntukan undang-undang negara khususnya larangan melompat parti yang kini terpakai ke atas parti-parti politik dan para ahli Parlimen. 

“Saya yakin gerakan ini telah dimulakan oleh beberapa orang Ahli Parlimen dan pimpinan daripada blok pembangkang yang tidak bertanggungjawab. 

“Tindakan mereka ini boleh disimpulkan sebagai melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen hingga menimbulkan keresahan dan ketidaktenteraman awam,” katanya kepada para pemberita di pekarangan IPD Seremban selepas membuat laporan polis tersebut.

Kira-kira 20 ahli dan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) hadir sebagai tanda sokongan.

Mohamad Afif menarik perhatian, sebarang cubaan untuk mewujudkan ketidakstabilan yang boleh mengancam keselamatan negara mesti dihalang.

“Saya justeru meminta polis menyiasat gerakan dan komplot yang dikenali sebagai Langkah Dubai ini yang sangat jelas bertentangan dengan Seksyen 124B dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan,” ujarnya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya