KOTA BHARU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan menggesa polis mengambil tindakan segera ke atas mana-mana pihak atau individu yang cuba menggulingkan kerajaan dengan memainkan pelbagai spekulasi khususnya menerusi platform media sosial.
Ketuanya Mohamad Ezzat Zahrim Mohd. Hanuzi berkata, tindakan segera daripada pihak berkuasa sangat penting demi menjaga kestabilan politik dan ekonomi sekali gus keamanan negara.
Menurutnya, perkara itu boleh dilihat apabila ada pihak yang sibuk memainkan spekulasi Langkah Dubai sebagai usaha menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Setiap kali bertukar pemerintahan ada sahaja usaha untuk menjatuh kerajaan dan bagi kami perkara seperti ini mampu menggugat keselamatan negara termasuk ekonomi.
“Seperti semua maklum kerajaan hari ini tertubuh atas titah Yang Di Pertuan Agong (YDPA). Jadi kalau boleh kita janganlah buat perkara yang tidak sepatutnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas membuat laporan berkaitan Langkah Dubai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Mohamad Ezzat Zahrim memberitahu, AMK Kelantan menganggap pihak yang memainkan isu Langkah Dubai sebagai derhaka kepada Agong.
Katanya, walaupun belum terbukti, beliau yakin Langkah Dubai wujud berdasarkan pengesahan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi malah ramai sedia maklum isu berkaitan sering dimainkan oleh blogger kontroversi, Raja Petra Raja Kamaruddin.
“Sehubungan itu saya juga meminta satu siasatan dimulakan terhadap Raja Petra yang telah membuat kenyataan melalui media sosial dan menimbulkan kebimbangan awam dan menyiasat gerakan serta komplot yang dikenali sebagai Langkah Dubai.
“Tujuan laporan polis dibuat adalah untuk memastikan perkara sebegini tidak berulang lagi dan negara sentiasa berada dalam keadaan baik. Kita tidak mahu lagi dengar ada usaha menjatuhkan kerjaan dan kalau mahu tukar kerajaan pun tunggulah pilihan raya umum,” ujarnya.
Mohamad Ezzat Zahrim berkata, laporan polis yang dibuat turut bertujuan memastikan tiada lagi mana-mana pihak atau individu yang berani memainkan isu-isu cubaan menjatuhkam kerajaan seperti Langkah Dubai di mana-mana platform.
“Kalau kita berdiam diri dan terus ikut rentak mereka, maka mereka akan lebih berani. Jadi laporan polis ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga. Lebih penting langkah ini diambil demi negara kita.
“Kita buat laporan secara umum tetapi kita memberi fokus kepada memastikan mana-mana ‘Tiktokers’ yang pro kepada sesuatu parti terutamanya Raja Petra tidak lagi mengeluarkan kenyataan-kenyataan mengelirukan rakyat,” ujarnya.-UTUSAN