Amah mengaku salah sembunyi kelahiran bayi

Amah mengaku salah sembunyi kelahiran bayi

TERTUDUH dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis hari ini selepas menghadapi pertuduhan menyembunyikan kelahiran bayinya pada 21 Disember lalu. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang pengasuh warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menyembunyikan kelahiran bayi lelakinya pada 21 Disember lalu.

Pengakuan bersalah itu dibuat Yuni Widya Sari, 28, di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim sejurus pertuduhan dibacakan. 

Mengikut pertuduhan, Yuni didapati secara rahsia menyembunyikan kelahiran seorang bayi yang dilahirkan kira-kira pukul 6.30 pagi di dalam bilik air sebuah rumah di Jalan Mutiara Jaya, Taman Mutiara di sini pada 21 Disember lalu. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohd. Izham Ali bagaimanapun memohon agar tertuduh tidak diberikan sebarang jaminan memandangkan dia merupakan seorang warga asing dan meminta satu tarikh sebutan semula sementara menunggu keputusan laporan bedah siasat serta ujian asid deoksiribonukleik (DNA). 

Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Hanani Che Nor memohon jaminan dibenarkan atas alasan mahkamah mempunyai budi bicara mengikut Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah untuk memberikan jaminan bagi kesalahan tidak boleh dijamin.

Selain itu, peguam tertuduh turut merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan dia merupakan seorang ibu tunggal dan mempunyai dua orang anak berusia empat serta lima tahun yang menetap bersama ibunya di Medan, Indonesia. 

Selepas mendengar hujahan kedua pihak, mahkamah menetapkan tertuduh dikenakan jaminan berjumlah RM8,000 dengan dua penjamin rakyat Malaysia dan tarikh sebutan semula kes pada 15 Februari ini. 

Selain itu, tertuduh juga diarah menyerahkan pasport miliknya kepada mahkamah. 

Tertuduh bagaimanapun gagal membayar wang jaminan. 

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan mengenai penemuan mayat seorang bayi lelaki di Taman Mutiara, di sini, pada Sabtu lalu. 

Mayat bayi yang cukup sifat itu ditemukan selepas seorang guru lelaki berusia 44 tahun bertindak mencangkul kawasan belakang rumahnya kira-kira pukul 10.30 pagi selepas terhidu bau busuk.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, ketika ditemukan, mayat bayi berkenaan dalam keadaan berbungkus kain putih dan berulat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN