Akauntan rugi RM776,000, tertipu pelaburan palsu - Utusan Malaysia

Akauntan rugi RM776,000, tertipu pelaburan palsu

ISMAIL DOLLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Seorang akauntan wanita di sebuah syarikat swasta mengalami kerugian sebanyak RM776,000 akibat tertipu skim pelaburan palsu yang diiklankan dalam laman sosial Facebook. 

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mangsa yang berusia 49 tahun itu mula terjebak pada Oktober tahun lalu setelah melihat iklan pelaburan Accerx sebelum berurusan dengan empat individu melalui aplikasi WhatsApp. 

Mangsa ditawarkan menyertai jual beli matawang kripto sebelum memuat turun aplikasi Accerx Malaysia, seterusnya memberikan maklumat peribadi termasuk akaun bank bagi tujuan pendaftaran. 

“Mangsa yang berminat dengan pelaburan itu telah memasukkan wang berjumlah RM776,000 ke dalam 23 akaun bank syarikat berbeza secara berperingkat-peringkat.

“Selepas kira-kira dua bulan, mangsa kemudiannya membuat semakan ke atas akaun pelaburannya dan mendapati mempunyai keuntungan yang banyak, namun perlu membayar satu peratus dari nilainya jika ingin mengeluarkan duit berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Akibat gagal membayar wang yang diminta, mangsa telah mendapati akaun pelaburannya disekat dan sehingga laporan dibuat semalam, dia masih belum menerima sebarang bayaran. 

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan  pelaburan menjanjikan pulangan lumayan yang diiklankan dalam media sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya