JERANTUT: Penduduk di pesisir sungai di beberapa buah perkampungan mukim Ulu Tembeling daerah ini berwaspada berikutan air Sungai Tembeling dan Sungai Sepia mula naik dan melimpahi ke kawasan rendah sejak pukul 8 malam hari ini.
Difahamkan, kenaikan paras air juga sudah melimpah masuk ke dataran perniagaan di Kampung Bantal kira-kira 130 kilometer dengan bandar Jerantut yang terdapat kedai kopi, kedai runcit, pusat inap, wakaf tempat menunggu bot penambang dan beberapa premis di situ.
Bacaan paras air Sungai Tembeling di situ sudah melebihi aras amaran dan kini mencecah 106 meter yang dicatatkan pada pukul 9 malam ini, iaitu amaran bahaya berikutan hujan lebat berlaku sejak semalam di kawasan ulu sungai.
Penduduk Kampung Seberang Bantal, Jamizan Rashid, 45, berkata, air Sungai Tembeling meningkat sejak petang tadi dan kelihatan arus sungai semakin deras dan menghanyutkan reba pokok mati dan kayu reput.
“Air kelihatan sudah melimpah ke kawasan dataran perniagaan Kampung Bantal sejak pukul 9 malam ini dan kemungkinan akan berlaku peningkatan mula tengah malam ini hingga ke pagi esok.
“Kita mungkin berdepan banjir kali kedua sekiranya kawasan dataran ini dilimpahi air sepenuhnya. Itupun bergantung kepada keadaan hujan di kawasan ulu sungai,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Menurut Jamizan, bagi penduduk di pesisir sungai Ulu Tembeling kenaikan paras air kedua batang sungai utama merupakan lumrah berikutan hujan lebat di kawasan ulu sungai sejak semalam.
Penduduk Kampung Bantal, Mohd. Zaimi Ali, 59, berkata, hujan lebat bermula sejak pukul 2 petang hari ini menyebabkan air Sungai Tembeling dan Sungai Sepia naik mendadak dan berlaku limpahan di kawasan dataran perniagaan kampung itu malam ini.
“Semalam sudah menunjukkan tanda air akan melimpah masuk ke dataran perniagaan, tetapi sampai setakat ‘platform’ jeti kampung ini dan surut semula setelah hujan berhenti, tetapi keadaan malam ini air kembali naik mendadak,” katanya.
Ujarnya, penduduk berharap air kedua batang sungai di situ surut dan tidak berlaku banjir kerana perlu keluar bekerja untuk memperoleh pendapatan bagi persiapan persekolahan sesi 2024 dan belanja keperluan dapur menjelang bulan Ramadan. – UTUSAN