JERANTUT: Air Sungai Tembeling kembali melimpah ke kawasan dataran perniagaan di Kampung Bantal, Ulu Tembeling di sini hari ini berikutan hujan lebat kembali turun di kawasan ulu di situ sejak dua hari lalu.
Portal Info Paras Air Jabatan Pengairan Saliran (JPS) melaporkan air Sungai Tembeling di Kampung Bantal mencatat paras 105.39 pada pukul 11.30 pagi hari ini, iaitu aras amaran dan sudah pun menghampiri aras bahaya, 106 meter.
Hujan lebat sejak Jumaat lalu menyebabkan paras air Sungai Sepia dan Sungai Tembeling meningkat semula selepas dilaporkan surut dan keadaan banjir reda pada minggu lalu.
Penduduk Kampung Seberang Bantal, Jamizan Rashid, 42, berkata, air Sungai Tembeling kembali melimpah di dataran perniagaan Kampung Bantal sejak awal pagi hari ini pada paras 0.60 meter.
“Namun urusan perniagaan kedai kopi dan kedai runcit masih dibuka dan cuma segelintir penduduk sahaja keluar berbelanja dan bersarapan di kawasan dataran tersebut pada pagi hari ini dan kemungkinan paras air meningkat tengah hari ini.
“Penduduk di sini cuma tinggal di rumah berehat pada hujung minggu dan sebilangan orang dewasa keluar bersarapan di kedai kopi yang dipasang pelampung sambil melihat arus Sungai Tembeling yang deras menghanyutkan reba pokok mati dan kayu reput,” katanya di Kampung Bantal di sini hari ini.
Menurut Jamizan, selepas air Sungai Tembeling surut dan hujan reda minggu lalu, kebanyakan penduduk sudah mencongak untuk keluar bekerja menoreh di kebun getah dan menangkap ikan liar di sungai namun terpaksa ditangguh akibat paras air Sungai Tembeling meningkat naik.
Katanya, keadaan paras air Sungai Tembeling yang bertembung dengan Sungai Sepia di kampung tersebut tidak menentu sejak penghujung Disember tahun lalu berikutan hujan lebat turun menyebabkan penduduk sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
Sementara itu, Mohd. Zaimi Ali, 59, berkata, sejak minggu lalu dia keluar berjaga dan memantau ternakan ikan sangkar pada waktu malam berikutan paras air Sungai Tembeling meningkat naik selepas hujan lebat.
“Ketika paras air sungai meningkat dan arus deras pada akhir Disember tahun lalu, sangkar ternakan yang diisi kira-kira 5,000 ikan patin dan tilapia hampir hanyut, tetapi mujurlah saya sedar lebih awal dan berusaha menyelamatkan dengan menarik (sangkar) ke tebing dan mengikat kemas pada pokok,” katanya.
Tambahnya, dia dan penternak ikan sangkar di situ berharap cuaca kembali cerah semula dan air sungai surut supaya ternakan patin dan tilapia yang berusia empat bulan selamat dan boleh dijual menjelang Ramadan ini.
Ujarnya, begitulah keadaan kehidupan penduduk Ulu Tembeling yang banyak bergantung kepada sungai untuk mencari rezeki termasuk pengangkutan bot penambang dan sekiranya banjir berterusan semua aktiviti mencari rezeki terbantut. – UTUSAN