KOTA TINGGI: Air banjir masuk ke rumah secara mendadak dalam tempoh setengah jam menyebabkan ramai mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Al-Barakah Kampung Sri Delima, dekat sini tidak sempat menyelamatkan barang.
Azmi Muhamad Nor, 42, dari Kampung Sri Jaya mengakui hanya berharap supaya barang-barang dalam rumahnya tidak dihanyutkan arus deras banjir.
Bapa kepada dua orang anak itu memberitahu sudah tiga kali banjir melanda kampung itu termasuk dua daripadanya pada tahun lalu.
“Bukan sahaja barang dalam rumah, surat beranak dan dokumen penting selain semua buku, kelengkapan dan pakaian sekolah anak-anak habis rosak semuanya,” katanya yang bekerja di Bahagian Landskap Bangunan Sultan Ismail (BSI), Johor Bahru.
Bagi Shamsiah Hassan, 41, keluarganya hanya sempat menyelamatkan motosikal, manakala perabot dan barang elektrik lain ditenggelami banjir hampir satu meter.
Ibu kepada dua anak itu berkata, biasanya banjir di Kampung Sri Jaya akan mengambil masa satu minggu untuk surut dan kadangkala sehingga dua minggu, bergantung keadaan cuaca.
“Rumah saya berhadapan dengan sungai dan kawasan perkampungan ini rendah berbanding tempat lain, ini adalah punca utama banjir. Kami berharap Sungai Kepala Orang di sini akan didalamkan lagi selepas ini,” katanya.
Sementara itu, Ismail Ahmad, 56, dari Kampung Tersusun Sri Delima berkata, semasa air mula naik pada pukul 6.30 pagi, dia hanya sempat memikirkan untuk membawa keluar isteri dan anak-anaknya.
“Selepas itu saya hanya sempat memindahkan kereta ke tempat selamat manakala sebuah motosikal, barang-barang dalam rumah seperti televisyen, komputer riba, peti ais dan barang elektrik lain tidak dapat diselamatkan. Begitu juga dengan dokumen penting walaupun diletakkan di tempat tinggi tetap rosak kerana selepas berpindah ke PPS ini air naik hampir dua meter,” katanya. – UTUSAN