SERDANG: Malaysia akan ketinggalan dalam pelbagai aspek khususnya menjadi 30 negara ekonomi terbesar dunia jika tidak menguasai dan menembusi peluang Kecerdasan Buatan (AI).
Ini kerana AI adalah teknologi dan bidang baharu yang dikuasai bermula sekarang sejajar perkembangan semasa untuk mengharungi perubahan masa akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak boleh terlambat dan terlalu perlahan untuk menguasai AI kerana perkara itu menyebabkan rakyat akan terus ketinggalan.
Menurut beliau, kerajaan mengorak langkah awal melancarkan Program Kecerdasan Buatan (AI) Untuk Rakyat yang merupakan satu pembelajaran kendiri dalam talian yang direka untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran orang ramai terhadap bidang itu.
Menerusi program itu, kerajaan mensasarkan sejuta rakyat akan mengikuti program literasi Kecerdasan Buatan (AI) selama empat jam, hingga hujung tahun ini.
Susulan itu, kata Anwar, semua ketua setiausaha kementerian dan naib canselor universiti-universiti diminta untuk menghantar laporan berhubung penglibatan penjawat awam dan pelajar dalam program tersebut.
“AI merupakan bidang dan teknologi baharu yang mesti dikuasai sekarang dan mesti diterima kelajuan perubahan yang memaksa kita cepat menangkapnya (menguasai AI).
“Jadi jika diperkenalkan hari ini, kalau ambil tempoh tiga bulan untuk pihak sekolah dan memikirkan dan merencanakan, maka enam bulan diminta para pelajar mengikuti program AI Untuk Rakyat, maka kita ketinggalan satu tahun.
“Jadi kita tiada waktu. Maka naib canselor ada di sini, saya harap universiti lain dan Kementerian Pendidian Tinggi untuk pastikan semua pelajar tanpa terkecuali terutamanya di universiti mesti ikuti program ini,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam Majlis Peluncuran Program AI Untuk Rakyat di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini .
AI untuk rakyat adalah program pembelajaran kendiri dalam talian yang direka untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran orang ramai terhadap AI.
UMUR
Ia mudah diakses dan menarik untuk rakyat dari pelbagai kumpulan umur, latar belakang, dan lokasi geografi di seluruh Malaysia.
Program dan soal selidik boleh diselesaikan mengikut kadar kemampuan sendiri serta mampu diselesaikan dalam tempoh empat jam untuk dua modul.
Menurut Perdana Menteri, semua ketua setiausaha kementerian, ketua pengarah dan naib canselor diminta untuk menghantar laporan berhubung penglibatan penjawat awam dan pelajar Program AI Untuk Rakyat bertujuan meningkatkan kecelikan bidang baharu itu.
Malah Anwar berkata, penekanan itu bagi memastikan semua pihak khususnya para pelajar menyertai program itu yang bertujuan meningkatkan pemahaman dan kesedaran orang ramai terhadap AI.
Perdana Menteri juga mahu penyertaan peserta program tersebut dapat dicapai dalam tempoh satu juta dalam masa segera sejurus pelancarannya bermula hari ini.
“Saya tekankan untuk perkhidmatan awam, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan jangan tunggu bulan Februari.
“Dalam tempoh beberapa hari mesti ada usaha memperkenalkan AI kepada semua pelajar supaya dapat dibuktikan unjuran agar semua pelajar dan penjawat awam iaitu satu juta dapat (dilakukan) dalam satu tahun,” katanya.
Kata Anwar, kerajaan serius dalam melaksanakan transformasi digital negara dan ingin memastikan rakyat menyedari sepenuhnya inisiatif berhubung perkara itu sekali gus menjadi celik digital serta celik Al.
“Kita tidak ada pilihan selain memastikan rakyat menyedari sepenuhnya apa yang saya sebut sebagai celik digital dan celik Al,” katanya.- UTUSAN