JOHOR BAHRU – Seorang ahli perniagaan wanita mengalami kerugian berjumlah RM512,202 gara-gara terperdaya dengan pelaburan di media sosial.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 62 tahun pada Selasa lalu.
Katanya, wanita tempatan itu melaporkan pada April lalu telah tertarik tawaran pelaburan dengan pulangan yang tinggi ketika melayari laman sosial.
“Oeh kerana percaya dan mahu mendapatkan keuntungan tinggi, mangsa telah membuat pembayaran berjumlah RM512,202 ke beberapa akaun yang diarahkan suspek.
“Pengadu menyedari telah ditipu setelah hanya menerima pulangan sebanyak RM924 sahaja dan telah diarahkan untuk membuat pelbagai bayaran lain bagi mengeluarkan wang pokok dan keuntungan yang diperolehi sebagaimana dipaparkan dalam laman pelaburan berkenaan,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN