Ahli perniagaan didakwa guna gelaran Datuk Seri palsu - Utusan Malaysia

Ahli perniagaan didakwa guna gelaran Datuk Seri palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan gelaran Datuk Seri palsu untuk tujuan perniagaan, dua tahun lalu.

Hazimi Abd. Hamid, 54, yang juga pengusaha produk kesihatan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan Hazimi didakwa mengeluarkan sepucuk surat bertajuk `Letter Of Intent For Research Collaboration On A Project On Ketum Product Development’ kepada seorang lelaki berusia 44 tahun.

Surat itu yang dikeluarkan untuk urusan perniagaan, menggunakan gelaran Dato’ Sri iaitu Anugerah S.S.A.P daripada Sultan Pahang.

Pertuduhan itu turut menyatakan Hazimi didapati memiliki peralatan darjah kebesaran seperti surat watikah pelantikan, kalung gelaran Dato Sri (S.S.A.P), kad pengesahan diri sebagai Dato’ Sri dan lain-lain peralatan daripada Negeri Pahang yang disahkan palsu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Mont Kiara di sini pada 1 April 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3(1)(a) Enakmen 18, Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah Mencegah Penggunaan Tidak Wajar Pahang 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 3(3) enakmen yang sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Hannif Ahijman menawarkan jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin itu dengan alasan tertuduh mempunyai tanggungan empat orang anak.

“Dalam kes ini, tiada mangsa (kerugian) selain anak guam saya tiada risiko melarikan diri, pohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan,” kata peguam tersebut.

Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak, Azrul kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

Tarikh 5 Februari ini ditetapkan sebutan kes.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN