BATU PAHAT: Tidak dapat menahan kemarahan menyebabkan ada ahli keluarga Mila Sharmilah Samsusah, 32, melemparkan kata-kata mengecam dan mengeji tertuduh yang didakwa membunuh ibu tunggal berkenaan semasa dia dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tindakan itu menyebabkan pasukan keselamatan yang mengiringi tertuduh, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, terpaksa meleraikan keadaan dengan menghalang sebahagian waris yang cuba mendekatinya.
Terdengar jeritan daripada seorang waris kepada tertuduh “Ingat kau, nyawa dibalas nyawa.”
Dalam pada itu, ada ahli keluarga berhimpun secara aman sambil membawa gambar Bella menuntut keadilan diberikan sewajarnya atas kematian ibu tunggal beranak dua itu.
Bapa saudara Bella, Nor Azhar Jamil, 55, dalam pada itu mengucapkan terima kasih atas komitmen polis menjalankan siasatan kes kehilangan dan kematian anak buahnya itu.
Katanya, selepas 38 hari kehilangan Bella yang akhirnya berkesudahan dengan berita menyedihkan menyebabkan kakaknya, Norhisham, 36, amat terkesan dengan pemergian adiknya itu.
“Kami berharap keadilan diberikan sepenuhnya atas kematian Bella yang secara dasarnya dianggap amat kejam atas pemikiran manusia.
“Kami juga akan mengikuti sepenuhnya kes ini sehingga tamat demi keadilan untuk Bella,” katanya.
Menurut Nor Azhar, keluarganya akan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru bagi menuntut jenazah arwah sebelum dibawa pulang ke Batu Pahat.
“Jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banang selepas disembahyangkan di Masjid Datuk Bentara di Batu Pahat petang ini,” katanya. – UTUSAN