Agro Capital kena balik pelaburan RM5j, dividen kepada koperasi pekebun kecil - Utusan Malaysia

Agro Capital kena balik pelaburan RM5j, dividen kepada koperasi pekebun kecil

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat perkhidmatan industri pertanian dan dua pengarahnya diperintah membayar balik wang pelaburan RM5 juta dan baki dividen sebanyak RM312,500 kepada Koperasi Pekebun Kecil Negeri Sembilan Berhad selepas membenarkan tuntutan samannya.

Perintah itu dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap Agro Capital Management Berhad serta dua pengarah, Michael Marcus Liew dan Jamil Abu Bakar sebagai defendan pertama hingga ketiga serta kos RM10,000.

Pesuruhjaya Kehakiman Rozi Bainon turut memerintahkan ganti rugi am ditaksirkan oleh mahkamah, caj bayaran lewat pada kadar lima peratus setahun ke atas jumlah RM5.3 juta dikira dari tarikh 16 Mei 2022 hingga tarikh penyelesaian penuh.

Beliau membenarkan tuntutan saman koperasi itu selaku plaintif yang memfailkan tindakan undang-undang terhadap defendan berhubung representasi palsu bagi pelaburan sebanyak RM5 juta.

“Skim Pelaburan antara plaintif dan defendan ialah melalui penerbitan sukuk dan tempohnya bermula 18 Mei 2018 hingga 15 Mei 2021.

“Plaintif hanya diberikan dividen RM1.9 juta sahaja, baki dividen tertunggak dikira dari November 2020 hingga November 2021 ialah RM312,500.

“Defendan secara bersama diperintah membayar plaintif wang pelaburan RM5 juta dan baki dividen sebanyak RM312,500,” kata beliau dalam alasan penghakiman bertarikh dua hari lalu yang diperoleh pihak media hari ini.

Rozi berpuas hati, plaintif menanggung kerugian akibat kecuaian Agro Capital Management Berhad dalam melindungi kepentingan pelaburan tersebut.

Beliau berpendapat, wang pelaburan RM5 juta adalah hasil kutipan daripada ahli koperasi yang terdiri daripada pesara askar.

“Dalam kes ini, adalah adil dan wajar untuk mahkamah meletakkan tugas berhati-hati ke atas defendan pertama (syarikat itu) selaku pihak yang mengetahui semua aspek pelaburan dan pengurusan dokumentasi,” katanya.

Plaintif adalah sebuah koperasi beralamat berdaftar di Senawang, bersetuju untuk membuat pelaburan modal mengikut konsep pelaburan patuh syariah menggunakan instrumen sukuk sekitar April 2018.

Pada prosiding itu, plaintif diwakili peguam Muhammad Shafiq Samsul Anuar manakala Esther Yong Zhen Ying bagi pihak defendan-defendan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN