KUALA LUMPUR: Seramai 71 warga asing ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Op Pewa) di sekitar Setapak di sini hari ini.
Operasi dari pukul 8 pagi hingga sekarang ini membabitkan 70 anggota JPJ Kuala Lumpur dan tujuh penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dilakukan di 10 lokasi termasuk Sri Rampai, Sentul, Wangsa Maju dan Setapak.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur Mohd. Zaki Ismail berkata, dalam operasi itu, sebanyak 125 kenderaan diperiksa dengan 566 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Menurut beliau, antara kesalahan ialah tiada lesen memandu, salah guna lesen kenderaan motor, tiada insurans serta kesalahan teknikal.
“Hasil pemeriksaan dilakukan, kami menyita 84 kenderaan membabitkan 77 motosikal, empat kereta dan tiga kenderaan barangan (lori),” katanya dalam sidang akhbar selepas Op Pewa di JPJ KL hari ini.
Sementara itu, tinjauan dalam operasi itu mendapati seorang wanita warga Indonesia bertindak agresif apabila diminta untuk membawa motosikal ditunggangnya ke pejabat JPJ KL.
Ketika disoal siasat, wanita itu mengakui dia tidak memiliki sebarang dokumen termasuk lesen memandu yang menyebabkan dia bertindak agresif.
“Saya sudah dua tahun di Malaysia dan bekerja dengan sebuah syarikat pembersihan sejak setahun lalu.
“Apabila sudah bekerja, saya beli motosikal ini daripada orang (warga) Pakistan pada harga RM1,500 yang dibayar tunai,” katanya.
Kebanyakan mereka yang ditahan adalah penjual roti bermotosikal, penghantar barangan dapur dan penghantar besi buruk dari Pakistan, Myanmar, India, Bangladesh dan Indonesia.- UTUSAN