PENAMPANG: Tiada gunanya jika banyak undang-undang digubal sekiranya rakyat tidak tahu tentang kewujudan undang-undang yang boleh mereka manfaatkan.
Sehubungan itu, inisiatif diambil bagi memperluaskan perkhidmatan guaman menerusi klinik guaman bergerak ke kawasan luar bandar di seluruh negara agar rakyat mengetahui dan memahami tentang undang-undang yang ada di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pada tahun lalu, peruntukan sejumlah RM1 juta telah diluluskan bagi pembelian tiga buah van untuk melaksanakan klinik guaman bergerak.
Beliau berkata, van-van itu akan digunakan sebagai klinik guaman bergerak yang telah diubah suai dengan kelengkapan yang sesuai bagi memberikan perkhidmatan nasihat guaman kepada rakyat yang berada di kawasan pedalaman, termasuk kawasan Felda di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.
Katanya, masyarakat di pedalaman sering menjadi mangsa keadaaan seperti scammer dan penderaan seksual terhadap kanak-kanak kerana kekurangan pengetahuan mengenai undang-undang.
“Atas sebab itu, kita kena bantu memberi kesedaran mengenai undang-undang kepada rakyat menerusi kerjasama dengan badan guaman, kita tidak boleh bekerja sendirian,” katanya selepas merasmikan Program Mahkamah Bergerak dan pelancaran Klinik Guaman Bergerak di Kampung Madsiang, hari ini.
Menurut Azalina, cabaran di Sabah adalah masalah infrastruktur namun, hak rakyat untuk mendapatkan keadilan dari segi undang-undang tidak boleh dinafikan. Itu antara sebab pelancaran klinik guaman bergerak ini diadakan di Sabah.
Mengulas lanjut katanya, program klinik guaman bergerak yang akan dilaksanakan serentak dengan program mahkamah bergerak itu akan diadakan di beberapa daerah pada tahun ini iaitu di Pitas, Telupid, Paitan, Sukau dan Tungku.
Katanya, pada 2023, program mahkamah bergerak telah membantu menyelesaikan lebih 60 peratus kes pendaftaran lewat kelahiran di Sabah.
“Jika dilihat, kes kelahiran yang tidak didaftarkan kian meningkat di negeri ini kerana masih terdapat segelintir masyarakat di pedalaman yang tidak mengetahui tentang peruntukan undang-undang berkenaan dengan pendaftaran kelahiran lewat.
“Itu sebabnya program mahkamah bergerak di kawasan pedalaman dan kawasan terpencil di negeri Sabah dilaksanakan bagi menyelesaikan isu ketiadaan dokumen kelahiran bagi masyarakat di kawasan tersebut, dengan lokasi pertamanya di Long Pasia, Sipitang.
“Sehingga kini, program ini telah meliputi sebanyak 41 lokasi bagi kawasan pekan dan bandar kecil manakala 63 lokasi lagi di kawasan pedalaman,” katanya.