PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merakam percakapan 51 individu bagi membantu siasatan berkaitan isu campur tangan hal ehwal agama Islam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes tersebut.
“Setakat ini seramai 51 saksi telah dirakam percakapan bagi siasatan ini.
“Kita juga telah membuat temu janji untuk mengambil keterangan pihak media yang menyiarkan berita berkenaan pada 15 Januari ini iaitu Isnin depan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas JSJ Bukit Aman.
Rabu lalu, sebanyak 70 laporan polis diterima membabitkan isu kenyataan sensitif dan campur tangan dalam isu membabitkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
Mohd. Shuhaily dilaporkan berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pada 4 Januari lalu, Bukit Aman mengesahkan menyiasat dua individu yang mengeluarkan kenyataan sensitif dan campur tangan dalam isu membabitkan MKI.
Pada 30 Disember lalu, Koo Ham dilaporkan memohon maaf selepas mencadangkan pakar perlembagaan daripada kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
Ahli Parlimen Beruas DAP itu berkata, beliau tidak berniat masuk campur dalam hal ehwal agama Islam dengan membuat cadangan itu yang kemudian ditarik balik.
Susulan itu, Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi MKI bertitah mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam supaya menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.- UTUSAN