40 bintang antarabangsa hangatkan Festival Supalapa di Genting Highlands - Utusan Malaysia

40 bintang antarabangsa hangatkan Festival Supalapa di Genting Highlands

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 40 bintang antarabangsa bersama artis tempatan daripada pelbagai genre muzik dan hiburan bakal dihimpunkan dalam penganjuran sulung Festival Supalapa yang berlangsung pada 2 dan 3 Mac ini di Resorts World Awana, Genting Highlands.

Antara bintang terlibat adalah Tiësto, The Kid Laroi, EAJ, Somi, XG, Ali Gatie, Armani White, Tones and I, Ian Asher, Keemokazi, Paul Van Dyk, Rave Republic, Notep bersama nama bintang ternama antarabangsa yang menanti peminat pada festival berlangsung selama dua hari itu.

Selain itu, dijangka bersama bintang tempatan antaranya Yuna, Siaxse, Kidd Santhe, Talitha, Cluadia, Belle Sisoski, Jovynn, Coex, Forceparkbois & DJ Ziqq Axel Groovejuga yang dijangka membuatkan pengunjung teruja dengan persembahan mereka.

Dalam Festival Supalapa itu, pengunjung yang hadir boleh menikmati tiga genre muzik sekali gus daripada EDM, Pop dan KPOP dan semua genre muzik ini kemudian dipersembahkan dalam panggung masing-masing iaitu di Live Stage, EDM Stage dan Pool Stage.

Malah acara itu bukan sekadar hiburan berkaitan muzik tetapi di Festival Supalapa pengunjung akan melalui banyak pengalaman menarik yang tidak terdapat dalam acara hiburan sebelum ini.

“Di Festival Supalapa, melalui pembayaran secara sistem RFID yang pertama kali diadakan,, pengunjung akan menikmati pelbagai keseronokkan termasuk pengalaman di Wrestling Ring, Bali Swing, Carnival Games dan Silent Cinema,” kata penganjur dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Pengerusi Maestro Production And Prodigy 1 Nation, Parthiban Murugaiya menyifatkan Festival Supalapa menjadi tanda aras pesta hiburan di Malaysia yang dinantikan peminat industri muzik pada setiap tahun.

“Kami berharap penganjuran pertama Festival Supalapa akan menjadi acara yang tahunan yang ditunggu-tunggu kerana pengunjung dipersembahkan dengan semua jenis hiburan bukan sekadar muzik di dalam satu festival.

“Apa yang penting juga adalah Festival Supalapa mampu membantu melonjakkan nama Malaysia dalam kalangan pelancong dari luar negara kerana di sini mereka akan menemukan sebuah hub hiburan setaraf penganjuran antarabangsa.

“Tentu sahaja melalui Festival Supalapa dengan menghimpunkan lebih 40 bintang atau karyawan seni, penganjuran acara ini menjadi platform terbaik buat pemuzik tempatan berkongsi pentas sekaligus mendapat pengalaman menerusi kemunculan bintang antarabangsa. Kami juga mahu Supalapa menjadi sebuah jenama global untuk festival muzik bagi dunia

“Festival Supalapa bukan sekadar tentang hiburan tetapi bagaimana kami memberikan keseronokan tanpa limitasi sesuai dengan objektif penganjuran iaitu menjadi hub hiburan yang membuat pengunjung sentiasa teruja,” ujar Parthiban.

Dalam pada itu, Naib Presiden Kanan Jualan, Pemasaran & MICE Resorts World Genting, Spencer Lee berkata, setelah melalui perubahan besar, Resorts World Awana hari ini merupakan destinasi riadah bertaraf dunia.

“Ia menjadi destinasi di mana orang ramai boleh mengatur percutian bertemakan alam semula jadi dan menikmati masa tenang bersama ahli keluarga di tengah-tengah kehijauan dan udara tanah tinggi,” katanya.

Selain itu, Pengarah Festival, Addam Al Maleq berkata, Supalapa akan menjadi festival muzik yang tidak pernah dilangsungkan sebelum ini kerana pengalaman muzik yang menyeronokkan dan menarik di Resorts World Awana.

“Alamilah pengalaman luar biasa yang dipenuhi dengan keseronokan tanpa had di Festival Supalapa. Rasai semuanya di Festival Supalapa pada 2 dan 3 Mac 2024 di Resorts World Awana,” katanya.

Prodigy 1Nation bersama rakan kongsi acaranya Maestro Productions telah melaksanakan pelbagai konsert yang berjaya dan ‘sold out’ di seluruh dunia di seluruh Eropah, Kanada dan Asia manakala kali ini adalah festival muzik pertama mereka di Malaysia.

Dengan semua keseronokan yang akan dinikmati tanpa limitasi ini, jangan terlepas temujanji anda di Festival Supalapa pada 2 dan 3 Mac di Resorts World Awana.

Sebarang pembelian tiket boleh layari supalapa.com

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya