SEREMBAN: Seramai 2,500 orang pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Parlimen Rembau menerima sumbangan kit alat tulis peperiksaan bagi SPM 2023.
Ia melibatkan 19 buah sekolah bagi empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Rembau iaitu DUN Paroi sebanyak empat sekolah, DUN Chembong (6), DUN Rantau (6) dan DUN Kota (3).
Penyerahan sumbangan untuk calon SPM 2023 itu diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sri Sendayan baru-baru ini dan berakhir hari ini di SMK Seri Pagi bagi DUN Paroi.
Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika berucap pada majlis yang diadakan di SMK Bandar Baru Sri Sendayan meminta ibu bapa untuk turut sama memainkan peranan dalam memastikan kecemerlangan anak-anak mereka.
“Segi tiga pihak sekolah, ibu bapa dan pelajar sangat penting ke arah mencapai sesuatu kecemerlangan. Sekolah beria-ia mahu pelajar cemerlang tetapi ibu bapa tidak memainkan peranan, tidak boleh juga.
“Jadi, kita (ibu bapa) perlu memainkan peranan sama selain menganggap anak-anak yang kita hantar ke sekolah sebagai pelaburan jangka panjang kita.
“Kita sudah melabur sejak dari darjah satu lagi. Jangan ingat ia suatu perbelanjaan tetapi umpama kita membuat pelaburan saham yang kita sudah melabur hampir 20 tahun,” katanya lagi.