KUALA LUMPUR Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) telah menahan seramai 179,865 individu atas pelbagai kesalahan dadah sepanjang tahun lalu.
Daripada jumlah itu, seramai 158,493 inidvidu kesalahan dadah manakala 1,012 individu sudah dikenakan tindakan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata seramai 7,403 penagih dadah juga telah diambil tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kata beliau, daripada jumlah itu, seramai 4,893 penagih telah disabitkan di mahkamah dalam tempoh yang sama.
“Pada 2023, JSJN juga telah merampas dadah seberat 132,354.7 kilogram (kg) dan 469,538.39 liter pelbagai jenis dadah serta daun ketum yang nilai keseluruhan hampir RM704.9 juta,” kata dalam ucapan ketika perhimpunan bulanan JSJN yang disiarkan secara langsung melalui Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Kamarudin berkata, jumlah rampasa diliha meningkat berbanding rampasan pada tahun sebelumnya iaitu sebanyak 124,781.07 kg dan 51,199.88 liter dadah yang bernilai RM460.75 juta.
Mohd. Kamarudin berkata, peningkatan rampasan dadah dan tangkapan yang telah berjaya dilakukan membuktikan bahawa JSJN mempunyai kehebatan luar biasa dalam melaksanakan tugas memerangi dadah di dalam negara ini.
Dalam perkembangan berasingan, mengulas mengenai isu integriti pegawai dan anggota JSJN, beliau mengingatkan agar mereka untuk mematuhi Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Mohd. Kamarudin juga mengingatkan semua warga JSJN agar tidak terbabit dengan sebarang aktiviti salah laku dan menjauhi dadah.
“Saya difahamkan ada seorang pegawai JSJN terbabit judi di Kedah dan saya minta semua pihak beri perhatian berhubung penyeliaan anggota,” jelasnya.