KULAI: Jabatan Imigresen negeri ini menahan seramai 125 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam beberapa serbuan di sekitar Senai, di sini semalam.
Pengarahnya, Baharuddin Tahir berkata, kesemua PATI itu ditahan dalam Op Mahir, Op Selera, Op Belanja, Op Sapu dan Op Kutip yang dijalankan bermula pukul 11 pagi hingga 3.50 petang.
Kesemua PATI berkenaan dipercayai bekerja tanpa permit sah dan menetap lebih masa di negara ini.
“Menerusi Op Mahir yang dijalankan di sebuah kilang, seramai 328 warga asing telah diperiksa dengan 85 PATI berusia antara 20 hingga 47 tahun ditahan.
“Kemudian menerusi operasi lain yang menyasarkan kawasan tumpuan sekitar, seramai 110 warga asing diperiksa dan 40 daripada mereka yang berusia antara 19 hingga 57 tahun ditahan.
“Kesemua yang ditahan terdiri daripada pelbagai kewarganegaraan, antaranya Myanmar, Bangladesh, Pakistan, Nepal, India dan Sri Lanka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Selain itu, pihaknya turut menahan seorang wanita tempatan berusia 42 tahun di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi PATI.
“Tangkapan terhadap PATI dibuat di bawah Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Seorang PATI juga ditahan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.
Baharuddin menegaskan pihaknya komited untuk terus memperkasakan undang-undang imigresen di negeri ini, khususnya melibatkan kawasan yang menjadi ‘hotspot’ warga asing.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang di negara ini,” katanya. – UTUSAN