KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 12.98 tan daging babi sejuk beku selepas menahan sebuah lori di Kampung Gertak Serong, Tendong, Pasir Mas pada 4 Januari lalu.
Dalam serbuan pukul 12.55 tengah malam itu, JKDM Kelantan turut menahan pemandu dan kelindan lori tersebut bagi membantu siasatan berkait dengan rampasan tersebut.
Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, kejayaan itu adalah hasil maklumat dan intipan yang dilakukan berkait dengan penyeludupan.
“Mengikut maklumat, barangan tersebut diseludup masuk ke negara ini melalui pangkalan haram Mentua di Pengkalan Kubor, Tumpat.
“Sejurus ditahan, hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menjumpai 12.9 tan daging babi sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM116,820 termasuk cukai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, siasatan mendapati, penyeludup membawa masuk daging babi sejuk beku tersebut dari negara jiran menggunakan bot atau sampan.
Katanya, daging-daging itu kemudiannya dibawa di dalam lori kontena untuk dibawa dan dijual untuk pasaran Pantai Barat Semenanjung.
Dalam perkembangan lain Wan Jamal Abdul Salam berkata, pada 3 Januari lalu pihaknya berjaya merampas sebanyak 2.8 tan isi ayam beku selepas melakukan serbuan di sebuah premis di Jalan Pasir Puteh, Kampung Becah Keranji di sini.
Katanya, nilai rampasan itu dianggarkan bernilai RM15,247 termasuk jumlah duti RM6,099.
“Siasatan mendapati, kesemua daging ayam sejuk beku itu diseludup dari negara jiran menggunakan bot atau sampan.
“Pada masa sama, anggota JKDM turut menahan seorang lelaki berusia 56 tahun yang berada di premis itu,” ujarnya.-UTUSAN