10 tangki air ‘jumbo’ tampung masalah bekalan air - Utusan Malaysia

10 tangki air ‘jumbo’ tampung masalah bekalan air

CHOW Kon Yeow ketika meninjau persediaan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Juru menjelang gangguan bekalan air selama empat hari minggu depan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, hari ini. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menyewa sebanyak 10 tangki air ‘jumbo’ sebagai persiapan menghadapi gangguan bekalan air selama empat hari bermula 10 Januari ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, tangki air berkapasiti antara 20,000 liter sehingga 30,000 liter itu akan digunakan untuk mengisi semula air di dalam tangki statik yang akan diletakkan di tempat awam.

Katanya, PBAPP juga akan menggunakan lapan unit tangki lori air untuk kegunaan hospital dan pusat dialisis yang terjejas di negeri itu.

“Selain itu, pelbagai agensi lain antaranya Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menggunakan tangki lori masing-masing yang akan digerakkan ke lokasi yang ditetapkan nanti.

“Pada masa sama, sebanyak 35 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di negeri ini termasuk PBS Parit Buntar, Perak akan menggunakan jentera masing-masing bagi membantu melicinkan operasi pembahagian bekalan air di daerah terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau persediaan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Juru di Bukit Mertajam, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeru (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan orang ramai supaya menyimpan bekalan air lebih awal bagi memastikan ia mencukupi sepanjang tempoh terbabit.

Katanya, tempoh gangguan bekalan air diakui menjadi waktu yang paling genting buat semua, namun pihaknya optimis ia dapat diselesaikan mengikut masa ditetapkan.

“Tugas ini sememangnya sukar, tapi kita mahu fokus dan memberikan perhatian dan sepenuh tenaga untuk menyelesaikan kerja-kerja yang telah dijadualkan,” katanya.

Sebelum ini, PBAPP mengumumkan kira-kira 590,000 pengguna termasuk bukan domestik akan mengalami gangguan air berjadual selama 96 jam bermula 6 pagi 10 Januari hingga 6 pagi 14 Januari ini.

Ini bagi memberi laluan kerja-kerja penggantian dua unit injap di Loji Rawatan Air Sungai Dua serta kerja sampingan lain di 22 lokasi seluruh Pulau Pinang. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya