10 lagi Ahli Parlimen akan sokong PM - Utusan Malaysia

10 lagi Ahli Parlimen akan sokong PM

Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG: Dijangka 10 lagi Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang akan mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang sidang Parlimen 26 Februari depan.

Mengesahkan perkara itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal turut memberi mendedahkan negeri yang diwakili oleh Ahli Parlimen tersebut.

“Di zon utara iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perak ada lima Ahli Parlimen; di pantai timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang ada tiga Ahli Parlimen manakala di zon tengah iaitu Selangor dan

Melaka ada tiga Ahli Parlimen yang dijangka mengisytiharkan menyokong Perdana Menteri tidak lama lagi.

“Jadi angkanya sekarang sudah berubah iaitu lapan tambah tiga tambah lima,” katanya pada sidang media khas di kediamannya di sini, hari ini.

Bagaimanapun, di Selangor Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi sudah pun mengisytiharkan diri menyokong Perdana Menteri semalam menjadikan semua yang berbaki adalah 10 orang.

Mengulas mengenai angka lima yang dimaklumkannya, Syed Abu Hussin Hafiz berkata, mereka bukanlah terdiri daripada Ahli Parlimen yang dijangka memberikan sokongan kepada Perdana Menteri.

Sebaliknya, beliau menyeru kelima-lima Ahli Parlimen tersebut yang beliau sifatkan sebagai ‘high profile’ untuk turut serta menyatakan sokongan kepada Anwar.

“Saya menyerulah Larut, Beluran, Masjid Tanah, Tanah Merah dan Hulu Terengganu untuk bersama-sama mengisytiharkan sokonga kepada Perdana Menteri.

“Mereka ini adalah Ahli Parlimen berpengalaman yang sebelum ini meninggalkan parti lamanya untuk menyertai Bersatu bagi menubuhkan kerajaan di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Saya nak Bersatu secara keseluruhannya menyokong Perdana Menteri sebab itulah saya menyeru lima ‘high profile’ ini untuk bersama. Tiada yang mustahil dalam dinamika politik masa kini,” katanya.

Ahli Parlimen Larut adalah Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ahli Parlimen Beluran,

Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Beliau juga pada masa sama menyeru seluruh Ahli Parlimen Bersatu untuk menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri bagi mentadbir kerajaan sehingga tamat penggal tanpa gangguan supaya negara dapat bergerak maju dalam pelbagai sudut termasuk ekonomi.

“Usaha hendak menjatuhkan kerajaan hari ini adalah tindakan sia-sia dan buang masa. Bagaimana mahu jatuhkan sedangkan sokongan sedia ada sekarang membabitkan 152 Ahli Parlimen keseluruhannya. Susah untuk ditebuk,” katanya.

Sebelum ini, lima Ahli Parlimen Bersatu yang terlebih dahulu mengisytiharkan sokongan terhadap Anwar adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz; Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN