Wujudkan terowong air elak banjir termenung di Rantau Panjang

Wujudkan terowong air elak banjir termenung di Rantau Panjang

SEBAHAGIAN penduduk yang mengadakan bantahan aman mendesak kerajaan membina terowong elak banjir termenung di kawasan Rantau Panjang, Kelantan-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Penduduk Rantau Panjang yang terkesan dengan banjir mendesak kerajaan mewujudkan lebih banyak terowong air di projek Lemba­ngan Sungai Bersepadu (PLSB) Su­ngai Golok di sini bagi mengatasi masalah banjir termenung setiap kali musim tengkujuh.

Dakwa penduduk, situasi itu menyebabkan mereka terpaksa berlindung lebih lama di pusat pemindahan sementara (PPS) sekali gus mengundang rasa kurang selesa.

Pada masa sama, mereka mendakwa turut berdepan masalah penyakit kulit apabila terpaksa mengharungi banjir termenung setiap mahu pulang untuk melihat keadaan rumah.

Ahli Jawatankuasa Bertindak Banjir Rantau Panjang, Mohd. Ariffin Ismail berkata, langkah tersebut dilihat mampu mengurangkan kesan banjir yang terpaksa dihadapi oleh penduduk di lebih 10 buah kampung sementara menunggu projek tersebut siap sepenuhnya.

Menurutnya, jika tiada usaha segera berkemungkinan besar lebih banyak kesulitan yang terpaksa ditanggung oleh penduduk.

“Masuk hari ini, sudah tiga minggu air banjir di sini ‘bertahan’. Untuk makluman penduduk Kampung Tersang, Bendang Perol dan Tok Deh antara mangsa terawal dan terakhir pulang ke rumah setiap kali banjir melanda kawasan Rantau Panjang.

“Kesianlah dekat kami yang terpaksa berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok’Deh dalam tempoh lama,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan bantahan aman yang disertai lebih 50 penduduk di sini hari ini.

Mohd. Arffin memberitahu, pembinaan pintu air menggunakan 10 buah pembetung yang sudah diwujudkan oleh kerajaan ketika ini tidak mampu untuk menyelesaikan masalah tersebut sekali gus memerlukan lebih banyak terowong bagi meredakan situasi tersebut.

Katanya, sejak projek itu bermula 56 buah rumah milik penduduk di Kampung Tersang ditenggelami sepenuhnya oleh banjir dengan kedalaman air lebih enam meter.

Seorang lagi penduduk Mustafa Daud memberitahu, dia berharap kerajaan dan pihak berkait dapat turun padang untuk melihat sendiri situasi banjir yang dihadapi oleh mereka ketika ini.

Katanya, sejak banjir melanda dia kerugian lebih RM20,000 apabila barangan di dalam rumah rosak.

Sementara itu, warga emas Fatimah Hamat berkata, sebelum ini rumahnya tidak pernah ditenggelami banjir namun situasi berbeza apabila terpaksa berpindah ke PPS.

“Sebelum ini air naik juga ke dalam rumah, namun saya tidak berpindah. Bila ada projek ini, saya terpaksa berpindah kerana air di dalam rumah mencecah satu meter,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya