Wujudkan tabung khas turap jalan berlubang - Utusan Malaysia

Wujudkan tabung khas turap jalan berlubang

GAMBAR kiri menunjukkan seorang lelaki yang menutup lubang yang terdapat di susur jalan persimpangan Sungai Ujung-Bukit Kaya, Seremban yang tular di media sosial manakala gambar kanan pihak MBS telah menurap lubang di jalan berkenaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan dicadang untuk menubuhkan tabung khusus bagi tujuan menampal jalan berlubang yang berlaku di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon berkata, tabung itu penting bagi mengatasi masalah bidang kuasa yang sering menjadi isu berbangkit apabila jalan berlubang diadukan kepada kerajaan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri berkata, dana daripada tabung itu boleh digunakan segera tanpa menunggu pihak mana yang sepatutnya menurap jalan berlubang.

“Kerajaan sedar terdapat lokasi jalan tertentu yang dianggap kelabu iaitu sama ada ia di bawah bidang kuasa JKR atau PBT.

“Tetapi kerja menurap perlu dilakukan secepat yang mungkin untuk memastikan orang ramai dapat menggunakan jalan itu dengan selamat,” katanya bagi mengulas tindakan seorang lelaki menurap sendiri lubang di susur jalan persimpangan Jalan Sungai Ujung-Bukit Kaya dekat sini yang tular di media sosial.

Nicole Tan berkata, beliau menghargai usaha yang dibuat oleh lelaki tersebut walaupun kerja itu sepatutnya menjadi tanggungjawab kerajaan.

Beliau difahamkan susur jalan itu adalah antara kawasan kelabu membabitkan JKR dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

“Walaupun usahanya itu nampak kecil tetapi kerajaan sangat menghargainya. Pada masa yang sama pihak kerajaan tidak boleh leka dan mesti bertindak segera kerana isu jalan berlubang bukan kecil kerana sudah ada kemalangan yang membawa maut berpunca daripada jalan berlubang,” tegasnya.

Sementara itu, difahamkan pihak MBS telah pun menurap lubang yang terdapat di jalan berkenaan baru-baru ini.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya