KOTA BHARU: Seorang lelaki Thailand dicekup ketika sedang menunggu pelanggan untuk menyerahkan sebanyak 100,000 pil kuda bernilai RM651,475 di Jalan Kuala Krai, Tunjong, di sini, malam tadi.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, lelaki yang berusia 36 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.45 malam sebaik sahaja keluar dari sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dinaikinya.
Menurutnya, menyedari kehadiran pihak polis, rakan suspek yang merupakan pemandu kereta itu kemudiannya bertindak merempuh dua buah kenderaan polis sebelum memecut laju ke arah Jalan Kuala Krai-Tunjong, di sini.
“Anggota polis sempat menahan lelaki Thailand itu selepas dia keluar dari kereta terbabit. Pemeriksaan di dalam sebuah beg yang dibawa suspek kemudiannya menemui 100,000 pil kuda seberat lebih 11.8 kilogram.
“Polis turut menyita seutas jam tangan bernilai RM1,000 yang dipakai suspek. Lelaki itu dipercayai memasuki negeri ini secara tidak sah melalui sempadan Malaysia-Thailand,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, siasatan mendapati, kesemua dadah tersebut boleh dibekalkan kepada 100,000 penagih sekiranya ia terlepas ke pasaran.
Katanya, polis sedang mengesan rakan kepada suspek yang berjaya meloloskan diri selepas merempuh dua buah kenderaan polis.
“Ujian saringan air kencing terhadap lelaki terbabit mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, seorang penjawat awam dan pelajar merupakan antara 626 orang yang berusia antara 17 hingga 55 tahun yang ditahan selama sembilan hari Ops Tapis Bersepadu.
Katanya, dalam operasi itu, pihaknya turut menahan 20 warga asing yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
“Dadah bernilai RM760,169 dirampas sepanjang Ops Tapis Bersepadu selain pelbagai harta berjumlah RM22,500 turut disita,” katanya.–UTUSAN