LAHAD DATU: Seorang lelaki warga emas maut manakala isterinya cedera parah diserang sekumpulan gajah di kawasan kebun milik mereka di Kampung Perpaduan, Skim Begahak Sabtu lalu
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, kedua-dua mangsa berada di pondok bagi menjaga kebun ubi milik mereka sebelum terserempak dengan sekumpulan gajah.
Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu, Silvester Saimin berkata, hasil siasatan mendapati mangsa yang berusia 90 tahun dan isterinya yang berusia 61 tahun diserang oleh seekor daripada 12 ekor gajah yang memasuki kebun mereka.
Menurut beliau, daripada cerita cucu mangsa, semasa kejadian suami itu berada di pondok untuk menjaga kebun ubi mereka.
“Semasa sedang berehat, isteri mangsa menyedari pondok itu digeser oleh gajah. Suami isteri tersebut keluar dari pondok untuk melarikan diri.
“Bagaimanapun, seekor gajah mengejar kedua-dua mangsa lalu menendang dan memijak mereka,” kata beliau dalam kenyataan.
Kata Silvester, akibat serangan itu, lelaki warga emas tersebut mengalami kecederaan pada bahagian dada dan lebam di bahagian mata kanan dan luka di bahagian tangan sebelah kiri.
Isteri mangsa pula mengalami kecederaan di bahagian pinggang, paha kiri dan lebam di kedua-dua belah tangan.
Menurut Silvester, pada masa ini, isteri mangsa sedang dirawat di Hospital Lahad Datu manakala, mayat suaminya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Mengulas lanjut katanya, anggota JHL telah pergi ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan dan mendapati terdapat kesan-kesan kehadiran gajah di kawasan kebun ubi milik mangsa.
Katanya, pemeriksaan mendapati terdapat kesan tapak kaki gajah, pokok-pokok ubi patah dan ada kesan geseran di pondok yang didiami mangsa.
Namun, sepanjang pemeriksaan dilakukan, tidak ada kelibat gajah di kawasan berhampiran. Malah, tiada sebarang provokasi antara mangsa dan gajah semasa kejadian berlaku. – UTUSAN