KUALA LUMPUR: Warga asing di sekitar Jalan Silang di sini didakwa sering membuat kekacauan serta kerosakan harta benda hingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan peniaga tempatan.
Peniaga, Alona Passio, 42, berkata, hampir keseluruhan premis di situ menggajikan warga asing yang kebanyakannya terdiri daripada warga Bangladesh dan Nepal.
Dia yang memiliki sebuah stor berhampiran berkata, kumpulan itu juga kerap membuat bising dan bergaduh terutamanya ketika mabuk.
“Mereka (warga asing) di sini suka buat kotor, mabuk. Khemah saya juga pernah patah akibat pergaduhan mereka.
“Malah, ada yang lagak macam orang sini.. hingga kita rasa tidak selesa,” katanya ketika ditemui di Jalan Silang di sini hari ini.
Dalam pada itu, Alona mendakwa, kebanyakan premis dimonopoli oleh warga asing yang disewakan oleh pemilik asal.
Katanya, ini merupakan operasi terbesar pernah dilihatnya sejak berniaga di situ kira-kira 11 tahun lalu.
“Ini kali pertama ramai polis datang. Kami agak terkejut tadi apabila dihalang masuk.
“Tetapi bagus juga kerana di sini sangat ramai orang asing, terutamanya pada hari minggu,” katanya.
Sementara itu, seorang pekerja yang enggan dikenali berkata, dia terkejut dengan kehadiran polis pada pukul 11 pagi malah beberapa rakan sekerjanya turut ditahan polis kerana isu dokumentasi.
“Kali pertama ada operasi serbegini sejak kerja di sini beberapa tahun lalu.
“Ia patut dilakukan sejak dahulu lagi bagi membanteras isu kebanjiran warga asing di sekitar ini,” ujarnya.- UTUSAN