KOTA BHARU: Seorang wanita warga emas ditemukan maut dipercayai sudah tidak sedarkan diri sebelum kereta dipandunya terbabas dalam kejadian di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Ibrahim di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, hasil siasatan awal mendapati warga emas berketurunan Cina itu dipercayai sudah tidak sedarkan diri sehingga kereta tersebut terbabas ke arah pembahagi jalan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas mangsa tidak menemui sebarang kesan dan mayatnya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.
“Sebelum itu, polis menerima laporan berkiat kejadian itu pada pukul 3.19 petang.
“Siasatan awal turut mendapati kereta yang dipandu mangsa dari arah Jalan Zainal Abidin menghala ke Jalan Sultan Ibrahim dalam keadaan perlahan tanpa berhenti di simpang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Rosdi memberitahu, kes tersebut diklasifikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.-UTUSAN