KOTA BHARU: Pas mencabar pihak yang mendakwa masih ada lagi Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) akan menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengemukakan bukti.
Setiausahanya Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, setiap dakwaan yang dibuat perlu dikemukakan bersama bukti bagi mengukuhkan perkara tersebut.
“Menjadi tanggungjawab orang yang membuat dakwaan berkenaan untuk membuktikan perkara itu. Kalau bercakap sahaja siapa pun boleh dan setakat ini tidak ada seperti didakwa.
“Saya boleh mengatakan bahawa mereka yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri pun belum tentu akan memberikan sokongan dalam bentuk undi. Itu yang boleh kita gambarkan setakat ini,” katanya selepas diminta mengulas dakwaan Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengenai kemungkinan tujuh atau lapan lagi Ahli Parlimen PN bersedia menyatakan sokongan kepada Anwar.
Sebelum itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu hadir ke Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih Tahun 2023 yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Syed Abu Hussin Hafiz mendedahkan sekurang-kurangnya tujuh atau lapan ahli Parlimen daripada PN bersedia menyatakan sokongan kepada Anwar.
Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata, ianya selepas lima ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan sokongan terhadap kerajaan dalam tempoh tiga bulan sebelum ini.
Dalam perkembangan lain, Takiyuddin meluahkan rasa dukacita apabila
Ahli Parlimen Bukit Gantang tidak dipilih untuk menganggotai kabinet.
Katanya, Syed Abu Hassan Hafiz sepatutnya tersenarai dalam barisan kabinet yang baharu selepas secara terang-terangan menyatakan sokongan kepada Anwar.
“Saya menyangkakan Bukit Gantang masuk dalam kabinet tetapi sangkaan saya meleset.
“Saya ingat dengan tindakan beliau yang menyatakan sokongan sebegitu sekali, sepatutnya beliau berada dalam kabinet sekarang ini. Tetapi….dukacita untuk beliau lah,” katanya.-UTUSAN