Tunggakan cukai: Mahkamah benar penghakiman terus terhadap Shafee - Utusan Malaysia

Tunggakan cukai: Mahkamah benar penghakiman terus terhadap Shafee

MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya mendapatkan penghakiman terus terhadap peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi menuntut tunggakan cukai berjumlah jutaan ringgit.

Penghakiman terus merupakan tuntutan saman yang diputuskan oleh mahkamah tanpa melalui perbicaraan.

Bagaimanapun, jumlah sebenar yang perlu dibayar oleh peguam terbabit akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin ini.

Pada 27 September 2021, LHDN memohon supaya kes saman terhadap Muhammad Shafee diputuskan melalui penghakiman terus atas alasan antaranya defendan gagal membayar keseluruhan tunggakan cukai pendapatan dan kenaikan cukai yang dikenakan ke atas beliau berjumlah RM9,414,708.32 dalam tempoh ditetapkan.

Ketika membaca penghakiman ringkasnya, Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain berkata, mahkamah terikat dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan membabitkan isu tunggakan cukai membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan anaknya, Datuk Mohd. Nazifuddin.

Pada 16 Oktober lalu, panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Najib dan anaknya berhubung tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM1.7 bilion atas alasan tunggakan cukai pendapatan adalah hutang kepada negara dan perlu dibayar.

TERTUNGGAK

“Mahkamah berpuas hati bahawa taksiran telah dibuat dalam borang yang ditentukan. Jumlah menjadi tertunggak kerana tempoh pembayaran telah tamat. (Selain itu) tiada sebarang pengecualian diberikan oleh Ketua Pengarah LHDN.

“Terikat dengan keputusan itu, mahkamah ini tidak boleh membatalkan permohonan ini atas alasan yang (dinyatakan) defendan bahawa terdapat isu yang perlu dibicarakan. 

“Tambahan pula, penghakiman (Mahkamah Persekutuan) memutuskan secara mendalam bahawa Akta Cukai Pendapatan tidak bertentangan dengan Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Cukai Pendapatan itu adalah berperlembagaan,”kata Roz Mawar.

Keputusan tersebut dibuat selepas mahkamah mendengar hujah daripada kedua-dua pihak berhubung permohonan penghakiman terus tersebut hari ini.

Selepas Mahkamah membaca keputusan tersebut, peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili Muhammad Shafee bangun dan memaklumkan bahawa pihaknya dan LHDN telah mencapai kata sepakat berhubung jumlah yang perlu dibayar.

 

Peguam Kanan Hasil Norhisham Ahmad ketika mengesahkan perkara tersebut turut memberitahu taksiran akhir akan mengambil sedikit masa kerana akan mengambil kira pengurangan penalti daripada 100 peratus kepada 15 peratus.

Terdahulu, peguam terbabit memberitahu mahkamah bahawa proses rundingan bagi mencapai penyelesaian secara baik bagi kedua-pihak tidak berjaya.

Menurut Norhisham, secara dasarnya kedua-dua pihak telah mencapai kata putus kecuali jumlah yang perlu dibayar.

“LHDN telah memberikan pengurangan penalti daripada 100 peratus kepada 15 peratus tetapi defendan tidak bersetuju dengan jumlah tersebut,”ujarnya.

Kerajaan Malaysia melalui LHDN memfailkan saman terhadap Muhammad Shafee pada 6 Mei 2021 dengan menamakan beliau sebagai defendan bagi tunggakan cukai itu selama lima tahun.

Berdasarkan dokumen diperoleh media, peguam berkenaan mempunyai tunggakan cukai tahun taksiran RM621,291.85 (2011), RM978,854.11 (2012), RM3,581,500.000 (2013), RM1,735,124.03 (2014) dan RM1,826,557.87 (2016). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN