Tujuh individu terlibat ‘scam’ pelaburan diberkas  - Utusan Malaysia

Tujuh individu terlibat ‘scam’ pelaburan diberkas 

RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai tujuh individu termasuk seorang wanita disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan pelaburan diberkas di sebuah premis pusat panggilan di ibu negara,  Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menahan tiga lelaki warga China, seorang lelaki warga Taiwan dan tiga lelaki serta seorang wanita tempatan yang semuanya berusia antara 27 hingga 42 tahun.

Menurut beliau, semua yang ditahan  berperanan sebagai pengurus pejabat, pengurus sumber manusia, penterjemah skrip, pereka laman web dan pembantu pejabat.

“Hasil siasatan awal mendapati sindiket tersebut menawarkan skim pelaburan tidak wujud atas nama Alpha AI (Alphaai.vip) menerusi platform mata wang kripto palsu dengan menyasarkan mangsa dalam kalangan rakyat India. 

“Ahli sindiket ini telah membina laman sesawang dan mencipta graf pasaran saham palsu bagi tujuan memperdaya pelabur selain menterjemahkan skrip penipuan yang pada asalnya dalam Bahasa Cina kepada Bahasa Inggeris dan Bahasa Hindi untuk memperdaya mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ hari ini. 

MERAMPAS

Ramli berkata, polis turut merampas 13 telefon bimbit; empat komputer riba; tiga set komputer, satu router serta modem, sebuah IPad, wang tunai RM3,855 dan pelbagai mata wang asing.

“Kesemua individu warga tempatan telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah tempoh reman mereka tamat semalam.

“Manakala empat suspek warga asing ditahan di bawah Akta Imigresen 1959 hingga 24 Disember. Kes disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan, Seksyen 120B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959,” katanya.

Dalam kes berasingan, Ramli berkata, seramai tujuh individu berusia 18 hingga 30  tahun ditahan di sebuah premis yang dijadikan sebagai pusat panggilan perjudian dalam talian di Seri Kembangan, Selangor pada Rabu lalu.

Jelasnya, siasatan awal mendapati, sindiket itu menjalankan aktiviti perjudian dalam talian dengan menyasarkan rakyat Singapura melalui satu laman web digunakan untuk mempromosikan aktiviti perjudian itu.

“Seorang daripada mereka berperanan sebagai penyelia dan enam individu lagi bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas tujuh set komputer, 25 telefon bimbit, satu router, sembilan kad pengeluaran tunai (ATM) dan enam kad sim.

“Kesemua suspek dan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya