Tiga remaja termasuk dua bawah umur didakwa culik kanak-kanak 7 tahun - Utusan Malaysia

Tiga remaja termasuk dua bawah umur didakwa culik kanak-kanak 7 tahun

JONATHAN Yet (tengah) dan dua rakannya yang masih di bawah umur didakwa menculik seorang kanak-kanak di Mahkamah Majistret Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tiga remaja termasuk dua yang masih di bawah umur menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini atas tuduhan menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, dua minggu lalu.

Terdahulu, ketiga-tiga tertuduh  mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret, R. Salini.

Namun, selepas melihat ketiga-tiga tertuduh kurang memahami Bahasa Melayu ketika diminta membuat rayuan, mahkamah kemudian meminta pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin.

Selepas itu, tertuduh, Jonathan Yet, 18, dan dua rakannya yang berusia 15 dan 17 tahun menukar pengakuan mereka kepada tidak bersalah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka secara bersama telah menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di Jalan Serampang, di sini pada pukul 5.15 petang, 12 Disember lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shamira Mohd. Luthfi Ismail, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Pihak pendakwaan memohon jaminan sebanyak RM8,000 terhadap semua tertuduh, namun mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM2,500 untuk setiap tertuduh, manakala dua tertuduh yang masih di bawah umur perlu dijamin ibu bapa atau penjaga.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 23 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan sosial dan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat memberitahu, ketiga-tiga suspek tersebut ditahan di Pontian pada 21 Disember lalu.

Mereka bersama seorang lelaki berusia 41 tahun telah bertindak menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah RM300,000, namun cubaan itu gagal apabila bapa mangsa, seorang warga China yang mempunyai taraf penduduk tetap Singapura berjaya menyelamatkan anaknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN