Tiga punca bekalan elektrik pastikan CIQ BSI tak 'bergelap' lagi - Utusan Malaysia

Tiga punca bekalan elektrik pastikan CIQ BSI tak ‘bergelap’ lagi

MOHAMAD FAZLI MOHD. SALLEH (dua dari kiri) menerangkan tentang usaha yang diambil bagi menangani isu gangguan bekalan elektrik di CIQ BSI, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) akan mempunyai tiga sumber bekalan tenaga elektrik bagi memastikan insiden gangguan bekalan yang berlaku kelmarin tidak berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengenal pasti punca bekalan elektrik baharu bagi bangunan berkenaan.

“Pada masa ini terdapat dua punca bekalan elektrik, iaitu satu laluan terus TNB dan tujuh set generator sebagai bekalan tambahan, namun kita merancang untuk menambah satu lagi Pencawang Pembahagian Utama (PPU) sebagai laluan terus kedua bekalan elektrik TNB.

“TNB sedang kenal pasti beberapa laluan punca bekalan bersesuaian dan akan mencadangkan kepada kerajaan dalam tempoh beberapa hari akan datang.

“Kerja-kerja itu dijangka bermula tahun depan dan akan memakan masa kira-kira setahun untuk selesai dilaksana sepenuhnya. Insya-Allah selepas itu tiada lagi insiden seperti kelmarin,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat pasukan khas banjir kilat di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor; Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman dan Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad.

Mohamad Fazli berkata, selepas ini apabila kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan, terdapat satu punca bekalan kuasa laluan terus alternatif daripada pencawang TNB dan sekiranya ada gangguan, ada bekalan sokongan daripada tujuh set generator.

Semalam, Mohamad Fazli memaklumkan kejadian gangguan bekalan elektrik di CIQ BSI berpunca daripada salah sebuah set generator yang digunakan mengalami kerosakan sehingga menyebabkan dewan pejalan kaki bergelap.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut menyifatkan insiden tersebut sebagai memalukan dan tidak sepatutnya berlaku memandangkan bangunan itu merupakan laluan masuk utama di selatan tanah air.

Kelmarin, para pengguna laluan tersebut mengadu dalam media sosial apabila CIQ BSI mengalami gangguan bekalan elektrik lebih 12 jam  menyebabkan mereka berbaris panjang dan lebih lama kerana proses urusan pasport terpaksa dilakukan secara manual. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya