‘Tidak hilang diri sendiri, di sebalik kemilau seni’ - Utusan Malaysia

‘Tidak hilang diri sendiri, di sebalik kemilau seni’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INI kali kedua saya benar-benar punya masa untuk menyelami siapa sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani. 

Dua kali ini juga, saya cukup mengagumi bagaimana dia melukis jalan cerita hidup dengan menyusun kata-kata. 

Dia bukan lagi Aina Abdul yang mungkin suram di mata segelintir peminat muzik. 

Pelayarannya kini ditemani bulan dan bintang, menyuluh lautan seni yang berombak berbadai. 

Masyhur disebut-sebut. Namanya kini sebaris penyanyi wanita hebat lain. Tahun ini, dia melebar sayap seluasnya. Megah biarpun dihujani pujian dan nista. Itu resmi hidup sebagai anak seni. 

Kejayaan yang ada tidak hanya membawa senyum. Tetapi apa erti kejayaan sebenar bagi wanita di tangga usia 30 tahun ini? Adakah sorakan ribuan peminat menyeru namanya? Atau barisan trofi yang ada atau juga mungkin gemerlapan busana ratusan ribu ringgit? 

“Tahun ini bagi saya terlalu mencabar. Di sebalik semua kejayaan itu, ada perkara yang buat saya sedar dan syukuri. Saya masih dapat rasa ketenangan hidup di sebalik pancaran gemerlapan populariti. 

“Sehingga ini, saya bangga kerana masih tidak hilang seorang Nurul Aina Abdul Ghani di sebalik kekecohan berdirinya Aina Abdul. Itu kejayaan sebenar yang sehingga ini, saya panjatkan syukur nikmat,” ujarnya. 

Lantas bagaimana kita melihat pantulan sebenar penyanyi Sumpah ini? Bagaimana dia di sebalik barisan busana ratusan ribu yang mencetuskan pelbagai kontroversi?

“Kadang-kadang saya masih mencari siapa diri ini. Aina Abdul yang mungkin terlihat sangat extra dan bold. Tetapi di sebalik itu, apa cerminan sebenar dilihat ketika bersendirian. 

“Tetapi saya seorang yang cukup minimalis dan sangat reserved. Berbeza dengan apa yang terlihat di mata kasar semua. Tahun ini dugaannya berbeza. Terlalu banyak pengalaman yang mematangkan saya.

MEREDAH OMBAK, MENGGAPAI BIANGLALA

KONSERT dan album baharu untuk putaran tahun baharu, 2024 bukan satu rahsia yang harus didiamkan. 

Dia punya banyak perancangan, tetapi ada beberapa harus disimpan kemas sebagai kejutan. 

Penyanyi Semalam ini juga mula sedar, tidak semua perkara harus dicanang sekampung. 

Adakala lebih baik dia menyusun senyap strategi, tidak mahu menabur janji buat pengharapan kelompok pemuja seninya. 

“Jujur, tidak sabar untuk saya mulakan kerja bagi 2024. Tetapi kalau banyak sangat kongsi, susah mahu jalankan. Takut juga peminat menuntut apa yang telah saya hebahkan. Tak berani untuk umum. 

“Saya juga belajar untuk bersederhana dalam perkongsian. Hendak berahsia sedikit. Tetapi konsert bukan lagi satu rahsia. Cuma konsep, jalan cerita dan kemegahannya itu saya simpan dahulu. 

“Banyak yang saya dan pihak pengurusan belajar daripada konsert di Axiata Arena. Saya mahu buat lebih baik dengan pelan dan susunan yang lebih gah. Di pentaslah, saya merasai kegembiraan sebenar,” bicaranya. 

Yang menjadi tongkat dia terus bertahan adalah peminat dan semangat seninya. Tidak pernah pudar walau sedikit pun cinta dan minat untuk terus berkarya. 

Sebaris semangat dengan lagunya, Terus Hidup. Tetapi hadirnya beberapa kelompok yang memalit lumpur terhadap hubunganya dengan rakan artis, media dan pemuja lain menyebabkan kekesalan mula hadir dalam hatinya. Dia runsing dan pening dengan kocakan itu. 

“Saya bersyukur hadirnya peminat setia. Dulu boleh bilang dengan jari tetapi kini, mereka sudah saling bersahabat baik. Mereka adalah alasan saya terus berkarya, Mengingatkan jatuh bangun Aina Abdul. 

“Tetapi saya juga kesal dengan sikap segelintir peminat. Terima kasih kerana memberi perhatian dan menghulurkan kasih sayang. Cuma ada kala, itu memercik kejanggalan antara saya dan rakan artis lain. 

“Syukur disayangi tetapi saya harus semuanya kekal positif. Kita saling meraikan tanpa ada peperangan maya. Saya percaya, yang bergolak itu adalah antara kelompok peminat. Antara kami, tiada masalah,” katanya tenang.

KEPUASAN DAN KETERLEBIHAN

MEMBUKA gelanggang bicara tentang pelbagai pencapaian tahun ini, dengan kemenangan trofi penyanyi paling popular, album pertama dan konsert berskala besar serta banyak lagi menjadikan jenamanya cukup hebat. 

Adakah kini dia sudah mula bersahabat baik dengan sang puas? Adakah setiap satu kejayaan yang diraih mewujudkan rasa cukup dalam hatinya? Penantian hati yang akhirnya dijelmakan dengan usaha. 

“Kalau saya merasa puas dengan apa yang ada sekarang, ada benda tak kena dengan saya. Saya selalu bertarung dengan diri sendiri. Saya mahu lebih dan lebih lagi. Pembuktian terhadap diri saya.
“Sejauh mana saya boleh berkarya? Apa kemampuan lain yang saya boleh buktikan? Sebab itu, saya sangat susah berasa puas.Bila berjaya melakukan sesuatu, saya akan mula  kir ‘apa lagi dan lagi’. 

“Trofi yang ada adalah hadiah untuk peminat. Mereka yang berhempas pulas, siang malam mengundi saya. Saya hanya menumpang kejayaan dan kasih saya mereka selama ini,” katanya. 

Kilauan pancaran seni dan perhatian dek pemilihan fesyen juga mewujudkan pelbagai persepsi dan pertanyaan. Apa sebenarnya hala tuju Aina Abdul? Di mana jiwa penyanyinya jika perhatian lebih kepada busana gahnya? 

Lantas itu juga persoalan saya yang dilayangkan menerusi ruangan pojok, Gapo Dio Poklip baru-baru ini. 

Tatkala seharusnya sorakan diterima lebih kepada persembahan meganya, mengapa busana mencuri fokus utama? 

“Saya terima dan telan teguran itu. Sebab itu, saya bertanya semula kepada diri sendiri, did I go too far? Adakah fesyen yang ditampilkan terlalu extreme sehingga saya lupa jati diri sebagai penyanyi? 

“Jika saya tampil dengan pakaian pelik, saya akan tutup kisah itu dengan persembahan lebih hebat. Saya akan terus memperbaiki diri, melatih diri sendiri untuk berhadapan dengan segala kritikan. 

“Bila ada yang mempersoalkan itu, saya  fikir mungkin ada yang lupa saya penyanyi kerana fesyen melampau. Untuk saya tinggalkan fesyen extreme itu tidak, tetapi ada hadnya. Itu identiti Aina Abdul,” jelasnya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya