SEREMBAN: Tiada sebarang acara khusus diadakan oleh kerajaan Negeri Sembilan bagi sambutan ambang tahun baharu 2024 malam ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan itu diambil selari dengan kenyataan yang dikeluarkan kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Komunikasi kelmarin.
“Suasana semasa hari ini menuntut untuk semua pihak sentiasa cakna terhadap situasi semasa negara dan dunia.
“Ketiadaan program tersebut bukanlah bersifat menyekat sebarang aktiviti sambutan tahun baharu tetapi kerajaan negeri mahukan penglibatan rakyat negeri ini untuk bersama-sama bersolidariti terhadap nasib umat Islam di Gaza dan mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur.
“Bagaimanapun, program-program yang telah dirancang sempena akhir tahun 2023 boleh dijalankan oleh pihak penganjur (bukan kerajaan negeri) dengan menjaga sensitiviti semasa dan memenuhi tata susila yang telah ditetapkan,” kata beliau menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, Menteri Besar mengingatkan kepada seluruh rakyat untuk sentiasa peka dan sensitif terhadap penularan wabak Covid-19.
“Walaupun di Negeri Sembilan tidak mencatatkan sebarang kes di ICU, tetapi rakyat perlu sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berhati-hati apabila berada di tempat yang sesak.
“Selain itu, rakyat juga diminta untuk sentiasa berjaga-jaga akan situasi cuaca yang tidak menentu di beberapa tempat di Negeri Sembilan yang boleh mengakibatkan banjir atau banjir kilat,” katanya yang turut berharap tahun 2024 akan memberikan kebaikan kepada seluruh rakyat negeri ini.-UTUSAN.