Tiada perancangan aktifkan landasan kereta api Seremban-Port Dickson - Utusan Malaysia

Tiada perancangan aktifkan landasan kereta api Seremban-Port Dickson

J. ARUL Kumar menjawab soalan pada sesi pertanyaan lisan hari keempat, Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama, DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15 di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tiada sebarang perancangan di pihak kerajaan setakat ini untuk mengaktifkan semula jajaran landasan kereta api yang menghubungkan Seremban ke Port Dickson sepanjang 36 kilometer.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar bagaimanapun berkata, satu kajian menyeluruh perlu dilaksanakan sekiranya terdapat keperluan dan permintaan supaya laluan kereta api yang telah ditamatkan pada tahun 2009 itu untuk dihidupkan semula.

“Untuk mengaktifkan jajaran ini, perlu ada satu kajian menyeluruh dilaksanakan merangkumi kesediaan peralatan, aspek teknikal kereta api, permintaan pengguna, kesediaan operasi, dan perkara lain yang berkaitan.

“Sudah tentu setakat ini tiada apa-apa perancangan tetapi kami akan cuba buat kajian menyeluruh dan setiap tindakan yang kita buat perlu ada hasil yang baik, kalau kita perlukan perkhidmatan itu mestilah ia dapat digunakan semaksimum yang boleh,” katanya pada sesi pertanyaan lisan hari keempat, Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Abdul Fatah Zakaria (PN-Bagan Pinang) yang ingin mengetahui apakah perancangan kerajaan negeri dan Persekutuan dalam usaha untuk membangunkan semula laluan perkhidmatan kereta api Seremban ke Port Dickson.

Sementara itu dalam perkembangan lain, kerajaan negeri melalui Bahagian Kerajaan Tempatan dalam tindakan untuk membangunkan garis panduan pengoperasian penginapan komersial jangka pendek seperti AirBNB dan inap desa di seluruh kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk kawasan perumahan teres.

Arul Kumar menjelaskan, garis panduan berkenaan bertujuan untuk memberi panduan praktikal dan nasihat berkaitan pengoperasian penginapan komersial jangka pendek kepada PBT ketika mengurus, mengawal selia kawalan dan menangani pengoperasian penginapan komersial jangka pendek yang dijalankan di sesuatu tempat.

“Bagaimanapun, tiada punca kuasa pada Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang membolehkan untuk melesenkan pengoperasian penginapan komersial jangka pendek. 

“Penyediaan Undang-Undang Kecil (UUK) Tred sebagai punca kuasa untuk pelaksanaan pelesenan sedang dibuat pindaan bagi membolehkan pelesenan dan penguatkuasaan dibuat ke atas penginapan komersial,” katanya bagi menjawab soalan Choo Ken Hwa (PH-Lukut) berhubung hala tuju dan perancangan kerajaan negeri untuk mengawal penginapan komersial di kawasan perumahan teres.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya