Tiada pembelian panik pelitup muka, kit ujian kendiri - Utusan Malaysia

Tiada pembelian panik pelitup muka, kit ujian kendiri

S. VEERAPAN (kiri) dan Muhammad Zahir ketika walkabout Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Perayaan Krismas 2023 Peringkat Negeri Sembilan di sebuah pusat beli-belah di Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tiada laporan pembelian panik melibatkan pelitup muka dan kit ujian kendiri di Negeri Sembilan walaupun terdapat peningkatan jangkitan Covid-19 kebelakangan ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, pihaknya juga setakat ini tidak menerima laporan mengenai kekurangan bekalan mahupun peningkatan harga bagi kedua-dua barangan tersebut.

“Pelitup muka dan kit ujian kendiri masih lagi dikawal di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Perlindungan Pengguna 1999, setakat ini tidak terdapat apa-apa aduan mengenai kekurangan bekalan pelitup muka dan kit ujian ataupun terputus bekalan, setakat ini okay.

“Kalau berlaku kenaikan harga, adukan sahaja kepada KPDN dan kami akan siasat dan ambil tindakan bagi kami lihat kadar harga yang tidak munasabah, tidak adil dan sebagainya.

“Walaupun berlaku peningkatan (Covid-19) seperti yang diumumkan, bekalan itu masih stabil, tiada belian panik dan saya rasa rakyat sudah ada persediaan rapi di pihak masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas walkabout Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Perayaan Krismas 2023 Peringkat Negeri Sembilan di sebuah pusat beli-belah di Nilai di sini hari ini.

Ia dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan.

Sementara itu, Veerapan berkata, Pegawai Penguat Kuasa KPDN Negeri Sembilan telah ditugaskan di lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah barangan keperluan perayaan di negeri ini.

“Ia bagi memastikan peniaga menggunakan label harga merah jambu bagi barang yang terlibat di bawah SHMMP, memantau keberadaan bekalan barangan di pasaran, memastikan penggunaan alat timbang sukat yang telah ditentusahkan serta tiada sebarang aktiviti pencatutan berlaku bagi melindungi pengguna daripada peniaga yang tidak  beretika semasa musim perayaan,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya