'Tetap jaga anak angkat OKU sepenuh jiwa' - Utusan Malaysia

‘Tetap jaga anak angkat OKU sepenuh jiwa’

SEREMBAN 23 Dis.- NURUL Aneesa Mohd. Zainal (kanan) dan suaminya, Mohd. Syafiq bersama anak angkat mereka, Adell Sofea Fairuz Abdul Nur ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Baru Paroi, Seremban baru-baru ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: “Selagi bernyawa, saya akan jaga anak angkat ini dengan sebaiknya dan mencurahkan kasih sayang dengan sepenuh jiwa,”.

Begitulah kasihnya, Nurul Aneesa Mohd. Zainal 33, dan suami Mohd. Syafiq Ismail 30, terhadap anak angkat perempuan mereka Adell Sofea Fairuz Abdul Nur yang juga orang kurang upaya (OKU) menderita penyakit cerebral palsy.

Nurul Aneesa berkata, biarpun hidup serba kekurangan dengan pendapatan suami tidak menentu sebagai tukang urut, dia mahu terus menjaga anak angkatnya itu dengan sebaik mungkin.

Katanya, dia mula menjaga Adell Sofea sejak berusia sembilan bulan yang pada awalnya ingin membantu menjaga selepas ibu kandung kanak-kanak itu ingin menyambung pelajaran.

“Saya sebenarnya tidak mengenali ibu kandung Adell Sofea, dan mendapat tahu akan perkara itu (ada bayi perlu dijaga) daripada kawannya.

“Terasa ingin membantu, saya mengambil keputusan menjaga Adell Sofea ditambah pula pada ketika itu saya kerap kali mengalami keguguran dan tidak sangka pula, ibu kandung Adell Sofea kemudiannya gagal dihubungi, terus hilang tanpa khabar berita,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Paroi di sini.

Pertemuan itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Kamarol Ridzuan Md Zain dan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Rozaidi Alias.

Menurut Nurul Aneesa lagi, sejak itu dia terus menjaga dan memberi kasih sayang sepenuhnya kepada Adell Sofea seperti anak kandung sendiri.

“Selepas seminggu Adell Sofea di bawah penjagaan saya selepas mengambilnya pada tahun 2017, dia secara tiba-tiba mengalami demam panas.

“Pada awalnya saya tidak tahu keadaan Adell Sofea tapi lama kelamaan apabila melihat tumbesarannya terbantut, dan setiap bulan buat pemeriksaan, barulah saya tahu keadaan sebenar Adell Sofea yang tidak senormal seperti bayi lain.

“Bagaimanapun, ia tidak sedikitpun mengurangkan rasa kasih kami, suami isteri untuk terus menjaga Adell Sofea malah makin bertambah sayang terhadap anak istimewa ini,” katanya lagi.

Bercerita lanjut, Nur Aneesa berkata, daripada segi pemakanan, Adell Sofea tidak boleh menjamah makanan berasaskan beras.

“Adell Sofea pernah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selama 12 hari selepas diberi makan bubur. Saya beri bubur pun atas saranan doktor tetapi lain pula jadinya.

“Akibat kejadian itu, menyebabkan Adell Sofea mengalami pelbagai komplikasi dalam badan. Apabila berlaku kejadian itu, saya menjadi tidak tentu arah malah pernah jatuh sakit melihat keadaan Adell Sofea ketika itu.

Katanya yang merupakan suri rumah, kasih sayang ke atas Adell Sofea datang dengan sendiri walaupun diakui anak istimewa itu cuma anak angkat.

“Sekarang ini saya tiada surat pengesahan sebagai ibu angkat, jadi nak uruskan daripada segi meminta bantuan, kemasukan hospital mahupun pembelian insurans sedikit sukar dan berharap ada pihak sudi membantu menyelesaikan masalah dihadapi,” katanya lagi.

Orang ramai atau mana-mana pihak yang ingin membantu boleh menghulurkan menerusi akaun AmBank, 8881013818104 atas nama Nurul Aneesa Mohd. Zainal atau boleh menghunginya di talian 011-6066 6541.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya