KOTA TINGGI: Padah tidak mengendahkan amaran bendera merah yang dipasang, seorang warga Singapura dikhuatiri lemas ketika beriadah di pantai dekat sebuah hotel terkemuka di Desaru, dekat sini hari ini.
Mangsa, Isaac Kelvin Tan Lee Thong, 49, masih belum ditemukan, manakala anaknya, Gabriel lan Tan Way Ping, 16, yang terselamat dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk rawatan lanjut.
Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Masri Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 12.33 tengah hari tadi.
Seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Sungai Rengit dan Mersing dikejarkan ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Anak beranak dari Singapura itu dipercayai lemas ketika sedang beriadah di pantai berkenaan. Mangsa dilaporkan dipukul ombak ketika sedang berada di gigi air menurut maklumat orang awam.
“Ekoran itu mangsa lelaki dewasa telah hilang dan masih belum dijumpai, manakala remaja 16 tahun itu berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai.
“Pasukan bertindak operasi (PKO) bertindak membuat pencarian dengan menggunakan teknik ‘surface searching’,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Masri berkata, operasi masih dilakukan di kawasan pantai berkenaan juga telah dipasang tanda amaran bendera merah sebagai larangan melakukan aktiviti di laut. – UTUSAN