JERANTUT: Penduduk di pesisir Sungai tembeling di beberapa buah perkampungan mukim Ulu Tembeling mula berjaga-jaga berdepan banjir apabila siren awal Jabatan Pengairan Saliran (JPS) berbunyi pada pukul 8.42 pagi di Kampung Bantal di sini.
Penduduk Kampung Seberang Bantal, Jamizan Rashid, 45, berkata, senario itu sudah dijangkakan oleh penduduk di situ berikutan air Sungai Tembeling mulai naik sejak petang semalam apabila hujan lebat hampir seminggu di kawasan ulu sungai tersebut.
“Hal ini sinonim bagi penduduk di pesisir sungai ini khususnya di Kampung Bantal dan Kampung Sepia sudah menjangkakan air sungai Tembeling dan Sungai Sepia naik setiap kali penghujung tahun ketika Monsun Timur Laut (MTL).
“Kita sudah mengambil sikap berjaga-jaga apabila mendengar siren pertama JPS berbunyi pada pada pukul 8.42 pagi hari ini menandakan perlu berwaspada kemungkinan air akan naik ke paras bahaya sekiranya hujan masih turun lebat di kawasan ulu sungai,” katanya di Kampung Seberang Bantal, Ulu Tembeling di sini hari ini.
Menurut Jamizan, air Sungai Tembeling belum lagi membanjiri kawasan dataran Kampung Bantal namun pemilik kedai makanan, kedai runcit dan pusat inap sudah bersiap sedia memindahkan peralatan penting serta barang perniagaan ke tempat tinggi sebagai langkah berjaga-jaga.
“Kemungkinan kawasan dataran kampung ini akan dilimpahi air Sungai Tembeling pada sebelah petang berikutan hujan masih turun sehingga ini,” katanya.
Sementara itu, portal Laman Web Rasmi Public Infos Banjir Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mencatatkan paras air Sungai Tembeling di Kampung Bantal setinggi 102 meter pada pukul 11 pagi, kian menghampiri paras amaran waspada, iaitu 104 meter.
Seorang peniaga kedai kopi Kampung Bantal, Apran Amat, 78, berkata, dia sudah mengalih peralatan berniaga di tempat tinggi memandangkan keadaan air Sungai Tembeling semakin naik sejak semalam.
“Saya cuma mengemas peralatan berniaga dan tidak memindahkan ke tempat lain kerana kedai kopi ini sudah dipasang tong pelampung yang akan timbul apabila air melimpah di dataran kampung ini,” katanya.
Ujarnya, senario itu merupakan rutin kehidupannya sejak usia muda dan berniaga di pesisir sungai kerana setiap kali musim tengkujuh tanggungjawab utama, iaitu menjaga kedainya dengan memasang tong pelampung serta ditambat pada pokok besar supaya tidak hanyut di samping keselamatan keluarga. – UTUSAN