Sungai Siam perlu dibersih elak banjir berulang di Felda Kota Gelanggi 1 - Utusan Malaysia

Sungai Siam perlu dibersih elak banjir berulang di Felda Kota Gelanggi 1

HARIS SALLEH Hamzah (depan, kanan) melawat ke kawasan terjejas banjir di Felda Kota Gelanggi 1 di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kerja pembersihan di sepanjang tujuh kilometer sehingga ke muara Sungai Siam perlu dilakukan segera bagi mengelakkan banjir berulang sehingga menjejaskan penduduk di Felda Kota Gelanggi 1 di sini.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar yang juga wakil kerajaan negeri, Haris Salleh Hamzah berkata, perkara itu akan disampaikan dalam mesyuarat Jawatankuasa Bencana Alam Daerah supaya pihak terlibat melaksanakan segera kerja pembersihan di sungai itu.

“Kerja pembersihan untuk memastikan aliran air Sungai Siam lancar dan tidak dihalang oleh sampah seperti daun dan pokok reput yang tumbang malah sekiranya perlu saliran ini wajar dilebar dan dikorek untuk menampung kapasiti air ketika hujan lebat.

“Cadangan ini berasaskan rungutan penduduk yang terjejas kerana setiap kali musim tengkujuh penghujung tahun berlaku banjir kilat dan mereka terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya ketika ditemui di Felda Kota Gelanggi 1 di sini.

Haris Salleh yang juga Ketua UMNO Jerantut menyumbangkan bakul makanan Penyelaras DUN Pulau Tawar serta barangan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Jerantut dan Pejabat Tanah dan Daerah Jerantut kepada kepada ketua keluarga penduduk yang terjejas.

Semalam, seramai 19 keluarga terdiri daripada 78 mangsa banjir kawasan penempatan Felda tersebut dipindahkan ke PPS di SK Felda Kota Gelanggi 1 pada pukul 9 pagi dan menjadi mangsa pertama yang dipindahkan di negeri ini.

Pemindahan penduduk terjejas itu berikutan air Sungai Siam melimpah ke kawasan penempatan penduduk berikutan hujan lebat kelmarin.

Sementara itu, Pengerusi Biro Sosial Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, PPS SK Felda Kota Gelanggi 1 yang dibuka semalam sudah ditutup pukul 11 pagi hari ini berikutan air surut di kawasan kediaman penduduk terjejas di Felda tersebut.

“Seramai 78 orang daripada 19 buah keluarga sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing oleh petugas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah untuk membersihkan kediaman serta dapat bekerja semula,” katanya.

Ujarnya, penduduk terjejas akan terus dipantau oleh dari masa ke semasa oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, pihak berkuasa beruniform dan Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung (JPKK) di situ. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya