KOTA BHARU: Sebuah stor yang menyimpan peralatan dan pengurusan di Istana Negeri Kubang Kerian di sini terbakar pada pagi tadi.
Bagaimanapun, kebakaran itu tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 8.14 pagi.
Menurutnya, sejurus tiba di lokasi pihaknya mendapati stor tersebut sudah 90 peratus terbakar.
“Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 9.27 pagi.
“Seramai 39 anggota termasuk pegawai, pasukan bomba bantuan telah ke lokasi untuk kerja-kerja menyelamat dan memadam kebakaran,” katanya.
Ujarnya, pada masa sama Unit Forensik JBPM Kelantan telah tiba di lokasi untuk menjalankan kerja-kerja penyiasatan kebakaran.-UTUSAN