SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan membuat keputusan untuk kekal menggunakan jenis rumput sedia ada di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini meskipun mendapat tawaran daripada Kementerian Belia dan Sukan bagi menukar dengan rumput jenis Zeon Zoysia.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Mustapha Nagoor berkata, keputusan tersebut mengambil kira kos penyelenggaraan yang perlu ditanggung sekiranya kerajaan negeri menerima tawaran tersebut.
“Isunya adalah mengenai penyelenggaraan, apabila ditukar dengan rumput baharu, kos penyelenggaraan kira-kira RM30,000 sebulan, jadi kami buat keputusan untuk kekal dengan rumput sedia ada, ya ada masalah sedikit mengenai saliran tetapi ia boleh diperbaiki,” katanya di sini semalam.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, hanya Sarawak yang menyatakan persetujuan untuk menerima tawaran dan menggunakan rumput Zeon Zoysia manakala Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Pahang tidak bersetuju dan mahu mengekalkan penggunaan rumput sedia ada.
Jelas beliau, negeri lain pula masih memerlukan lanjutan masa untuk membuat keputusan sehingga betul-betul yakin bahawa kos dan penyelenggaraan tidak membebankan pada jangka masa panjang.
KBS sebelum ini menyatakan bersetuju untuk membantu sebanyak 50 peratus kos penukaran rumput manakala 50 peratus lagi ditanggung oleh kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Mustapha berkata, beberapa kerja menaik taraf Stadium Tuanku Abdul Rahman akan dimulakan dalam masa terdekat termasuk pemasangan kerusi di tempat duduk penonton.
“Kita akan tukar tempat duduk dan akan memasang kira-kira 18,000 kerusi, ia dalam proses dan akan mengambil masa tiga hingga empat bulan untuk disiapkan.
“Facade (bahagian luaran) stadium ini juga kami mahu ia berwajah baharu, apabila sampai, ada aura baharu termasuk harapan baharu bagi pasukan bola sepak Negeri Sembilan,” katanya yang baharu dilantik sebagai Naib Presiden PBNS.-UTUSAN.