Skuad Pantas Nilai 'hero' potong pokok tumbang - Utusan Malaysia

Skuad Pantas Nilai ‘hero’ potong pokok tumbang

AHLI Skuad Pantas Nilai ketika memberikan bantuan kecemasan memotong pokok tumbang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ketika kebanyakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberi fokus bagi menyampaikan bantuan kebajikan tetapi lain pula dengan penubuhan NGO Skuad Pantas Nilai.

NGO terbabit ditubuhkan bagi membantu melaksanakan kerja-kerja kecemasan seperti memotong pokok tumbang dan bantuan bencana lain.

Penubuhannya bertitik tolak dengan kejadian ribut yang melanda kawasan Nilai awal tahun ini yang telah mengakibatkan banyak jalan ditutup berikutan banyak pokok yang tumbang.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Skuad Pantas Nilai, Mohd. Redzwan Shujaudin, selepas kejadian itu, cadangan penubuhan NGO itu disambut ramai kenalan dan komuniti setempat.

“Skuad Pantas Nilai ini boleh dianggap sebagai pertubuhan sukarela dalam membantu pasukan keselamatan di lokasi sekiranya berlaku kecemasan atau bencana khususnya pokok yang berpotensi tumbang.

“Setiap daripada 25 orang ahli NGO ini mempunyai kemahiran dalam menggunakan peralatan memotong pokok, selain kemahiran-kemahiran yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, Skuad Pantas Nilai akan menghantar sekurang-kurangnya lima hingga enam orang dalam masa paling cepat sekiranya menerima panggilan kecemasan.

Katanya, memandangkan bukan mudah untuk berhadapan dengan bencana, namun atas semangat ingin membantu pasukan keselamatan dan juga penduduk setempat ia memberikan satu tanggungjawab pada setiap diri ahli NGO itu.

“Seperti dalam satu kejadian di Lenggeng, ada beberapa pokok telah tumbang dan mengenai bumbung rumah penduduk tetapi tidak mengancam nyawa dan keselamatan.

“Di situ kami hadir membantu dan apabila melihat wajah gembira penduduk, timbulnya kepuasan pada diri kami,” katanya lagi.

Katanya, bagi memastikan Skuad Pantas Nilai terus relevan dan dikenali komuniti setempat, pihaknya turut mendapat kerjasama dan sokongan kuat daripada ketua-ketua kampung selain daripada agensi dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang turut memberi sumbangan alat peralatan memotong pokok.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya