PETALING JAYA: Pacer dari Singapura dan pasukan Kuala Lumpur akan berentap merebut juara dalam kejohanan Malaysia Terbuka Polo Air di Aquatik Bukit Jalil petang ini.
Pasukan Negeri Sembilan dan Selangor pula akan merebut tempat ketiga.
Jurulatih pasukan Kuala Lumpur, Joseph Chin berkata, saingan merebut kejuaraan dijangka hebat kerana kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan masing-masing.
Menurut beliau, menerusi kejohanan ini, pihaknya juga mahu memastikan sukan polo air negara bangkit semula selepas `tenggelam’ ketika Sukan Sea pada 2019.
“Kami melatih pemain kami agar lebih bersedia, menyedari saingan lawan dan berstamina untuk menghadapi kejohanan seterusnya terutama pada peringkat negara,” kata beliau hari ini.
Kata Joseph, ketika ini Kuala Lumpur adalah pasukan polo air terletak dalam tiga senarai teratas.
Jelas beliau, turut mengambil bahagian pertandingan hari ini ialah pasukan Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Sarawak.
“Pasukan luar negara ialah pasukan Hong Kong manakala Singapura menghantar dua pasukan iaitu Speedi dan Pacer,” katanya.
Jelasnya, kejohanan hari ini, akan menjadi pengalaman buat pasukan Kuala Lumpur untuk terus membaiki persembahan.
Pasukan Kuala Lumpur ialah Jason Ng Yew Soon, Tan Yi Xun, Joshua Ewe Jing Hong, Choo Lewen, Boonchuay Joanah Arun, Toh Yi Hang, Tan Yi Zhi, Khiew Tze Yean, Eu Joo Yi, Wong Chee Chin, Raul Dylan Hogath, Lai Wen Hang, Loh Guan Xiong, Ching Kok Leong – UTUSAN