PETALING JAYA: Ibu kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, memohon pertolongan dan kesabaran Allah berhubung kes pembunuhan anak sulungnya itu.
Ibunya, Ismanira Abdul Manaf, 28, dilihat memuat naik status di Instagram miliknya meluahkan agar diberikan kesabaran.
“Semakin kamu besarkan sabarmu, maka semakin besar Allah siapkan kebahagiaan untukmu.
“Semoga Allah memberi kita kekuatan dan kesabaran serta pertolonganNya. Aamiin aamiin Ya Rab Ya Muib,” katanya dalam hantaran terbarunya.
Terdahulu, pasukan forensik mengambil masa hampir dua jam membuat pemeriksaan di rumah tidak berpenghuni di tingkat tiga dan tingkat empat Blok R terbabit.
Mereka terlebih dahulu tiba sekitar pukul 3 petang sebelum membuat pemeriksaan di blok itu sebelum dilihat keluar sekitar pukul 5 petang.
Bagaimanapun, setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada terdapat penemuan bukti baru hasil pemeriksaan di rumah tidak berpenghuni itu.- UTUSAN