SEREMBAN: Kerja-kerja mendalamkan Sungai Jai, dan Sungai Ulu Beranang di Lenggeng di sini perlu dilaksanakan secepat mungkin untuk mengatasi masalah banjir sebelum ia bertambah buruk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd. Asna Amin berkata, sebelum ini kerja-kerja penyelenggaraan berkala longkang telah dilakukan jabatan berkaitan namun masalah banjir di kawasan berkenaan masih berlaku.
“Ini berikutan keadaan Sungai Jai yang semakin cetek dan air sungai seterusnya naik dan melimpah ke jalan raya. Jadi kita kena buat sesuatu iaitu dengan mendalamkan sungai tersebut.
“Saya mencadangkan supaya dapat kebenaran khas dalam program timbal balik yang dikendalikan oleh Yayasan Negeri Sembilan, untuk mengatasi masalah banjir ini memandangkan musim hujan akan berlarutan sehingga bulan Mac tahun depan,” katanya di sini.
Beliau berkata, penduduk sekitar terutamanya di Ulu Beranang, Sungai Jai dan Kampung Machang Ulu juga menyatakan kebimbangan mereka setiap kali hujan turun lebih daripada satu jam.
Katanya, program timbal balik merupakan program terbaik kerajaan negeri dalam menguruskan masalah banjir di negeri ini.
“Ini terbukti apabila keadaan sama (banjir) pernah berlaku di kawasan Linggi dan Kampung Ismail dan kita mahukan kaedah yang sama digunakan di Lenggeng ini dalam mengatasi masalah banjir,” katanya.
Baru-baru ini, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Machang, Lenggeng berikutan kejadian banjir kilat susulan hujan lebat berlaku pada 24 Disember lalu.
Seramai 68 mangsa daripada 16 keluarga dari Kampung Chelogeh, Kampung Batu 18 dan Kampung Sungai Jai ditempatkan di PPS tersebut.-UTUSAN.