PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bersedia untuk kembali berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas 12 bulan berehat.
Pada masa sama, Dr. Dzulkefly turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk kembali menerajui KKM.
“Dua belas bulan rehat atau seakan berhenti. Sedia untuk bangkit semula. Terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peluang ini,” ciapnya di laman sosial X, hari ini.
Dr. Dzulkefly dilantik semula sebagai Menteri Kesihatan di dalam barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang berusia setahun bagi menggantikan Dr. Zaliha Mustafa.
Dr. Zaliha beralih sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang diwujudkan oleh Anwar.
Sebelum ini, Dr. Dzulkefly turut menyertai Kabinet Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018 di bawah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. – UTUSAN