KALAU sudah namanya Datuk Seri Siti Nurhaliza, tidak kira apa sahaja isu berbangkit dalam industri seni, pasti akan ada yang bertanyakan pendapat biduanita itu berhubung sesuatu perkara.
Dia umpama ‘perdana menteri’ industri seni negara. Malah, kehadiran 75,000 peminat Coldplay semasa konsert mereka di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) turut terkait dengan bintang seni tiada ganti itu.
Rata-rata peminat mahukan dia mengulang kejayaan Konsert Siti Nurhaliza Fantasia Tour yang berlangsung mega pada 2004. Siti Nurhaliza harus rampas semula rekod kehadiran penonton paling ramai.
Namun reaksi penyanyi Sehebat Matahari di aplikasi X baru-baru ini mengundang seribu satu persoalan. Adakah dia bersedia dengan perancangan konsert mega di SNBJ? Adakah dia juga merancang untuk bersara selepas mengadakan konsert berskala besar di lokasi tersebut ?
Jawablah mendapatkan bidunita tersohor ini!
Ramai sangat teruja apabila Siti memberi respons kepada gesaan untuk mengadakan konsert berskala mega di SNBJ? Memang ada perancangan ke arah itu? Tahun hadapan mungkin?
Apa yang saya tulis atau balas komen di media sosial itu sekadar maklum balas kepada apa yang ditulis.
Saya sendiri tiada membayangkan untuk mengadakan konsert di SNBJ pada sekian-sekian tahun atau bila kerana saya selalu percaya, rezeki dan keadaan akan datang pada waktu yang tepat.
Saya tahu mengenai sensitiviti pada kala ini jika saya memberatkan hal-hal hiburan tetapi apa yang saya respons itu sekadar menjawab dan memberi reaksi kepada apa yang dipaparkan.
Sebelum ini juga, Siti ada membuat kenyataan membatalkan konsert berskala besar Mac depan. Namun tiba-tiba, ada yang mahu konsert lebih besar di SNBJ?
Jujurnya, saya tiada lagi memikirkan untuk konsert di SNBJ tetapi untuk lokasi yang lebih kecil dan sederhana saya akan lakukan dengan tujuan yang saya pernah katakan.
Saya mahu memberi semula kepada keadaan yang ada sekarang ini, sama ada di Palestin atau program-program amal di bawah Yayasan Nurjiwa.
Keputusan Siti menangguhkan konsert berskala besar menerima reaksi positif peminat. Walaupun ada kecewa tetapi mereka memahami alasan penangguhan itu. Bagaimana Siti melihat reaksi mereka?
Saya ada tanggungjawab saya, mungkin cara saya menerusi seni dan saya sebagai public figure namun siapa pun kita, saya sedar tentang sumbangan dan tanggungjawab kepada masayarakat semula. Mungkin cara kita sahaja berbeza.
Ciapan baharu Siti ada menyebut tentang persaraan. Ramai yang terkejut dan meminta Siti untuk tidak bercakap soal bersara. Mungkin mereka tidak boleh menerima jika perkara itu benar-benar terjadi. Komen Siti?
Saya tidak mahu komen mengenai bersara dan sebagainya kerana saya hanya sosok manusia yang ada kerjaya dalam seni dan perniagaan, ada yayasan untuk membantu dan ada tanggungjawab pada keluarga.
Isu bersara ini sebenarnya saya tidak mahu ulas kerana tidak mahu disalah anggap jika tidak difahamkan dengan betul. Kadang-kadang tulisan saya di sosial media adalah sekadar respons kepada peminat yang tag saya dan selagi tahu, ada hal-hal dan impian yang saya ingin capai dalam hidup, kerja dan juga keluarga serta anak-anak.
Siti juga dilihat memperlahankan aktiviti seni sehingga ada yang cakap itu langkah awal sebelum meninggalkan dunia seni? Komen sikit.
Fokus saya sekarang mungkin orang nampak saya agak memperlahankan kerja seni tetapi saya ada cara sendiri. Saya masih membuat persembahan dan lagu-lagu saya masih boleh dinikmati cuma saya juga ada rasa ingin menghormati keadaan sekarang dengan cara saya.-UTUSAN