S.M. Faisal gagal jadi pencelah semakan kehakiman Maria Chin - Utusan Malaysia

S.M. Faisal gagal jadi pencelah semakan kehakiman Maria Chin

MARIA CHIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Datuk S.M. Faisal Nasimuddin gagal mendapat kebenaran untuk menjadi pencelah dalam semakan kehakiman oleh aktivitis, Maria Chin Abdullah.

Semakan kehakiman tersebut adalah bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan prosiding komital terhadapnya kerana mengkritik keputusan mahkamah itu yang menjatuhkan hukuman penjara ke atas Emilia Hanafi yang juga bekas isteri S.M. Faisal.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan demikian atas alasan S.M. Faisal bukanlah orang yang wajar untuk menjadi pencelah.

“Perkara yang perlu diputuskan dalam permohonan ini ialah sama ada pencelah dicadangkan (S.M. Faisal) adalah pihak yang wajar untuk mencelah. Isu utama dalam semakan kehakiman ini ialah sama ada notis tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah adalah berperlembagaan dan sah. 

“Mengandaikan bahawa mahkamah ini membuat keputusan yang memihak kepada pemohon (Maria) atau sebaliknya, kepentingan pencelah dicadangkan tidak akan diprejudiskan.

“Hanya pada ketika notis tunjuk sebab itu berada dalam bahaya untuk dibatalkan oleh mahkamah ini, maka pada itu, kepentingan pencelah dicadangkan mungkin akan diprejudiskan. Tetapi itu bukan yang berlaku dalam kes ini.

UJIAN

“Bagi saya, itu merupakan ujian yang diperlukan bagi melayakkan pencadang dicadangkan menjadi pihak yang wajar dengan kepentingan terus. Atas alasan itu, boleh saya katakan dengan penuh yakin bahawa pencelah dicadangkan bukanlah pihak yang wajar,” kata Hakim Wan Ahmad Farid. 

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Mac 2024 untuk pengurusan kes semakan itu.

Pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian itu, S.M. Faisal selaku pemohon diwakili peguam-peguam, Meor Hafiz Salehan dan Mohd. Reza Mohd. Rafie manakala Maria diwakili peguam, Rosli Dahlan.

Turut serta ialah Peguam Kanan Persekutuan, Liyana Muhammad Fuad dan peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Danial Farhan Zainul Rijal mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)(ketika itu), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MAIWP) dan Jabatan Kehakiman Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden pertama hingga ketiga.

Pada 3 Mac 2021, Maria memfailkan permohonan semakan kehakiman itu antaranya memohon satu perintah certiorari membatalkan tindakan dan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah bertarikh 14 Oktober 2019 yang membenarkan Perintah Kebenaran Pengkomitan dan Notis Tunjuk Sebab dikeluarkan ke atasnya.

Pada 3 Mei 2021, SM Faisal memfailkan permohonan untuk menjadi pencelah dalam semakan kehakiman itu. Maria memfailkan semakan kehakiman itu dengan merujuk kes membabitkan dirinya dan Emilia.

SEMAKAN

Pada 22 Ogos 2022, Mahkamah Tinggi di sini memberi kebenaran kepada Maria untuk memulakan semakan kehakiman tersebut atas alasan semakan tersebut tidak mencabar mana-mana undang-undang syariah yang tertakluk dalam bidang kuasa mahkamah syariah.

Sebaliknya, semakan kehakiman itu mencabar bidang kuasa mahkamah syariah mengeluarkan perintah membenarkan notis tunjuk sebab dikeluarkan terhadapnya.

Pada 25 April 2022, Mahkamah Tinggi Syariah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap Maria selepas didapati bersalah menghina mahkamah.

Permohonan untuk memulakan prosiding komital itu dikemukakan oleh SM Faisal berikutan tindakan Maria mengeluarkan komen dan mengkritik keputusan mahkamah yang memerintahkan hukuman penjara terhadap bekas isterinya, Emilia Hanafi yang melanggar perintah mahkamah berhubung hak lawatan.

Pada 4 Disember 2020, Maria diperintah mengemukakan tunjuk sebab mengapa beliau tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi Syariah itu.

Ini berikutan mahkamah berkenaan menolak permohonannya untuk mendapatkan tempoh lanjutan masa bagi mencabar keputusan mahkamah itu membenarkan prosiding menghina mahkamah (komital) dimulakan terhadapnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN